Pendedahan itu sekali gus ber­­tentangan dengan kenyataan Per­dana Menteri Britain, Theresa May di Parlimen bahawa Rusia gagal memberikan reaksi terhadap tuntutan beliau bagi menjelaskan bagaimana bahan kimia ciptaan Kesatuan Soviet itu digunakan dalam serangan di bandar Salisbury pada 4 Mac lalu.

Menurut jurucakap kementerian itu, Maria Zakharova, kemungkinan besar sumber racun berkenaan adalah dari negara yang telah menjalankan kajian terperinci mengenai bahan-bahan dalam program Novichok sejak penghujung tahun 1990-an dan projek itu tidak melibatkan Rusia atau Kesatuan Soviet.

“Bagaimana mereka boleh mem­buat kesimpulan me­nya­lah­­kan Rusia jika mereka tidak memberi kami sampel itu? Sam­pel apakah yang mereka bandingkan untuk membuat ke­simpulan (tuduhan) sedemikian?

“Mereka sepatutnya mempunyai sampel itu, mungkin disembunyikan, atau sebenarnya satu pemboho­ngan sejak awal lagi. Jika Perdana Menteri Britain dan pakar-pakar lain memberi formula itu, maka jelaslah negara mana yang telah membangunkan agen saraf tersebut,” katanya.

Menurut portal berita Russian Today, Zakharova dalam satu temu bual dengan stesen penyiar negeri, VGTRK turut mempersoalkan tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menyokong Britain dalam isu itu.

Beliau berkata demikian selepas perwakilan Rusia di Organisasi Larangan Senjata Kimia (OPCW), Aleksandr Shulgin, menegaskan penyelidikan Novichok telah dibawa keluar dari Kesa­tuan Soviet setelah keruntuhannya.

Shulgin tidak menyebut di mana program itu diseludup masuk, namun beliau berkata, sumber bahan yang digunakan di Salisbury disembunyikan di salah sebuah negara di mana kajian terhadap bahan kimia tersebut dite­ruskan dan telah mencapai kejayaan tertentu.

Dalam pada itu, Menteri Luar Republik Czech, Martin Stropnicky dengan tegas menolak peni­laian Zakharova mengenai sum­ber agen saraf itu.

“Kami menolak kenyataan yang tidak berasas mengenai asal usul Novichok, tuduhan itu berunsur spekulasi semata-mata,” tegasnya.

Menteri Pertahanan Republik Czech, Karla Slechtova menerusi akaun Twitternya menyifatkan cadangan bahawa bahan kimia itu mungkin berasal dari Republik Czech sebagai tuduhan yang tidak masuk akal.

Terdahulu, OPCW berkata, tia­da satu pun negara anggotanya yang mengisytiharkan pemilikan agen saraf Novichok.

Semalam, Rusia bertindak mengusir 23 diplomat Britain dengan mengarahkan mereka meninggalkan negara itu dalam tempoh seminggu.

Rusia bertindak sedemikian sebagai membalas tindakan May mengusir 23 diplomat Rusia dan menutup Konsul Britain di negara tersebut.

Sebelum ini, Britain menimbulkan kemarahan Rusia apabila mengaitkan serangan racun agen saraf ke atas bekas perisik terbabit dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.