Ugutannya kepada masya­ra­kat antarabangsa tidak memberi kesan sebaliknya dunia kini memandang rendah kepada kredibiliti pemimpin itu yang me­nyangka kuasanya terletak pada jari telunjuknya.

Trump mungkin terlupa tidak semua negara di dunia ini boleh dibeli dengan wang jika yang dipertaruhkan adalah nilai kemanusiaan.

Sebelum beliau mengumumkan pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, dunia telah memberi amaran sebarang tindakan Trump yang menyebelahi rejim Zionis akan menghancurkan proses damai di Asia Barat.

Kini Palestin tidak lagi mahu AS menjadi pendamai atau orang tengah dalam krisis di wilayah itu sedangkan kepemimpinan AS terdahulu merupakan rujukan utama Palestin dalam krisis berkenaan.

Kepercayaan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas terhadap Trump telah lenyap.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki menegaskan, ‘sejarah merekodkan nama, mengingati nama-nama mereka yang berdiri atas kebenaran dan hak serta nama mereka yang berdusta’.

Selayaknya seluruh dunia tidak lagi meletakkan sebarang kepercayaan kepada AS untuk menjadi pendamai malah Peran­cis sendiri mengalu-alukan kenya­taan Mahmoud.

Bukan sahaja isu di Asia Barat malah tindakan Trump menarik keluar AS daripada Perjanjian Iklim Paris yang diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menunjukkan kredibiliti AS sebagai kuasa dunia semakin pudar.

Alasan Trump hanyalah kerana AS telah mengeluarkan banyak wang berbanding negara-negara lain dan alasan yang sama juga digunakan oleh ahli perniagaan itu mengugut negara anggota PBB dalam isu Baitulmuqaddis iaitu memotong bantuan kewangan kepada mereka yang menyokong resolusi badan dunia terbabit.

Sejak pemerintahan bilionair itu, sebarang isu yang tidak menyebelahi Israel terutama di pe­ringkat antarabangsa akan membawa kepada ugutan dari AS dan sebelum ini AS menerusi Duta ke PBB, Nikki Haley juga mengugut akan keluar dari Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Tindakan tersebut kerana agensi itu dianggap berat sebe­lah yang ‘kronik’ terhadap Israel kerana 47 negara anggota agensi berkenaan telah berulang kali mengundi resolusi mengutuk tindakan kejam rejim Israel terhadap penduduk Palestin.

Ugutan demi ugutan dibawa oleh Haley kepada badan dunia itu namun banyak pihak menyifatkan itu semua ‘taktik bodoh’ Haley namun memberi kesan positif kepadanya yang dikatakan akan bertan­ding untuk memperoleh kedudukan lebih tinggi dalam pentadbiran kerajaan AS pada 2020 atau 2024.

Namun seperti yang jelas diketahui dunia, Trump sebenarnya terikat dengan janji-janji kepada pelobi Yahudi semasa kempen pilihan raya Presiden yang menyaksikan sokongan kuat mereka sehingga ahli perniagaan itu berjaya menyandang jawatan berkenaan.

Cuma ketika pemerintahan bekas Presiden Barack Obama iaitu pada tahun lalu apabila AS mengambil sikap berkecuali terhadap resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengutuk peluasan penempatan haram Israel di Tebing Barat.

Walau bagaimanapun ada pihak di AS yang lebih bimbang ancaman Iran daripada isu Baitulmuqaddis dan menyifatkan pengiktirafan Trump itu sebenarnya tidak membantu Israel.

Laporan Los Angeles Times menyatakan jika Trump benar-benar mahu membantu Israel maka beliau mesti menyekat peluasan kuasa Iran di Syria yang disifatkan memberi ancaman lebih besar terhadap keselamatan Israel.

Apapun, Trump tetap menyam­but perayaan Krismas bersama keluarganya dengan gembira di kawasan peranginan Mar-a-Lago sedangkan keputusannya itu telah menyebabkan sambutan Krismas penduduk Kristian Palestin suram.

Banyak aktiviti dibatalkan malah Tebing Barat yang lazim­nya dipenuhi penduduk Pales­tin dan pelancong asing pada musim perayaan itu juga sepi akibat ketegangan yang berlaku antara penduduk Palestin dan tentera rejim Israel.

Kata Ketua Paderi, Mitri Raheb dari Gereja Evangelical Lutheran Christmas di Palestin, Trump dan sekutunya menggadai nyawa penduduk Kristian Palestin demi agenda politiknya.