Laman media sosial itu berkata, pihaknya tidak me­nemui sebarang tanda penggodam untuk mengakses data yang terdedah itu, tetapi menasihatkan pengguna menukar kata laluan mereka bagi tujuan ke­selamatan.

Twitter sentiasa menyimpan kata laluan yang disulitkan, sehingga tidak dapat dilihat oleh mana-mana individu mahupun yang bertugas di syarikat itu.

Namun Ketua Pegawai Tek­no­logi Twitter, Parag Agra­wal menjelaskan dalam catatan blognya, akibat gangguan pepijat tersebut, kata laluan pengguna tertera pada log dalaman sebelum proses melindu­nginya selesai.

“Kami mengesan kesilapan ini sendiri, bertindak cepat mengalih keluar kata laluan dan melaksanakan pelan untuk mencegah serangan pepijat ini daripada berlaku lagi.

“Sebagai langkah berhati-hati, kami meminta anda mempertimbangkan untuk mengubah kata laluan anda pada semua perkhid­matan yang menggunakan kata laluan sama. Kami memohon maaf dan segala kesulitan amat dikesali,” katanya.

Syarikat Internet yang berpangkalan di San Francisco itu bagaimanapun tidak menyatakan berapa banyak kata laluan yang terdedah atau berapa lama kerosakan itu membuat data terdedah kepada pengintipan.

Masalah itu berlaku ketika sek­tor itu berdepan pengawasan ketat terhadap perlindungan data peribadi dalam talian, berikutan skandal Cambridge Analytica yang menyaksikan maklumat da­ri­pada puluhan juta pengguna Facebook dirampas dan disalah guna.

Saham Twitter merosot kira-kira satu peratus kepada AS$30.36 (RM119.45) dalam dagangan selepas pasaran ditutup akibat masalah kata laluan itu.– AFP