Jacqui Lambie, 43, yang merupakan seorang senator untuk Tasmania hari ini mengesahkan beliau menjadi orang kelapan daripada seramai 226 ahli Parlimen Australia yang memiliki dua kewarganegaraan.

Beliau turut berikrar untuk melepaskan kerakyatan United Kingdom yang dimilikinya dan kembali ke dalam arena politik negara ini.

Sehubungan itu, parti pembangkang mengumumkan untuk meletak bekas Perdana Menteri negara ini, Kristina Keneally bagi bertanding merebut kerusi yang dikosongkan oleh ahli Parlimen di bawah Parti Liberal pimpinan Turnbull.

Kerajaan pimpinan Turnbull hilang kuasa di Parlimen selepas tujuh ahli politik daripada parti gabungannya meletak jawatan kerana mempunyai dua kerakyatan yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan negara ini.

Enam daripada ahli politik yang meletak jawatan termasuk Timbalan Perdana Menteri, Bar naby Joyce yang juga pemimpin Parti Nasional dan John Alexander dari Parti Liberal yang juga merupakan bekas pemain tenis Australia.

Alexander mengumumkan pe­letakan jawatan itu selepas gagal menentukan sama ada beliau turut mewarisi ke­rakyatan United Kingdom (UK) daripada bapanya yang merupakan seorang pendatang.

Sementara itu, pilihan raya kecil untuk merebut kerusi di Bennelong dan satu lagi kerusi untuk Joyce yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada bulan lalu dilihat menjadi kunci untuk memulihkan semula kuasa Turnbull di Parlimen.

Seorang pemimpin Parti Buruh, Bill Shorten berkata, pilihan raya kecil itu adalah peluang untuk rakyat negara ini menolak ketidakstabilan kerajaan semasa, kelumpuhan dasar dan kegagalan kepemimpinan.

Sementara itu, satu undian yang dikeluarkan semalam me­nunjukkan populariti Turnbull semakin menurun ekoran beliau dikritik hebat kerana gagal bertindak tegas berhubung isu dua kewarganegaraan dalam kalangan ahli-ahli Parlimennya. – REUTERS