Kempen pilihan raya di Bennelong menyaksikan perebutan kerusi antara calon kerajaan pusat yang juga bekas bintang tenis, John Alexander dan calon pembangkang Parti Buruh, Kristina Keneally yang merupakan bekas pemimpin New South Wales.

Keputusan pilihan raya ber­kenaan akan memberi kesan serius kepada parti gabu­ngan konservatif Turnbull kerana sekiranya Alexander kalah, kerajaan akan dipaksa untuk mentadbir dalam kedudukan sebagai mino­riti dan bergantung kepada sokongan Ahli Parlimen bebas.

Profesor Sains Politik Austra­lian National University di Canberra, John Warhurst berkata, kedudukan Turnbull mungkin tidak dapat dipertahankan sekiranya kerajaan kehilangan kerusi pada pilihan raya kecil itu.

“Semuanya akan berada di atas meja, termasuk kepimpinan Malcolm Turnbull,” kata Warhurst.

Alexander bertanding semula di kerusi itu selepas meletak jawatan pada awal bulan November ekoran krisis kewarganegaraan yang menyaksikan 10 ahli politik meninggalkan Parlimen, sama ada dipaksa oleh keputusan mahkamah atau pilihan mereka sendiri.

Parti pimpinan Turnbull terpaksa mentadbir sebagai minoriti sejak bulan Oktober lalu, ketika krisis berkenaan menggugat beberapa anggota Kabinet terma­suk Timbalannya Barnaby Joyce, tetapi telah memenangi semula kerusi beliau.

Alexander dilihat bakal memenangi semula kerusi beliau, tetapi majoriti selesa hampir 20 mata yang dimenanginya pada tahun 2016 dijangka berkurangan dengan ketara berikutan kempen oleh Keneally dan Parti Buruh yang menggesa pengundi menggunakan pilihan raya itu untuk menghukum kerajaan.

Kontroversi yang tercetus dengan China selepas Turnbull me­nuduh Beijing melakukan campur tangan yang tidak wajar di Canberra turut dikhuatiri menjejaskan kemenangan parti pimpinannya kerana hampir 25 peratus pengundi Bennelong berketurunan China.

Keputusan pilihan raya kecil itu dijangka hanya akan diumumkan esok kerana jumlah undi pos yang tinggi dibuat sebelum pemilihan.– REUTERS