Sumber memberitahu AFP, ­ke­dua-dua juruterbang pesawat yang ditembak, sempat melentingkan diri keluar daripada jet tempur itu, namun seorang daripada mati ditembak anggota penentang Syria, sementara seorang lagi masih hilang.

Insiden itu berlaku apabila dua pesawat tentera Rusia menceroboh ruang udara Turki sebanyak 10 kali dalam tempoh lima minit, menyebabkan Ankara mengarahkan pesawat berkenaan keluar dari ruang udaranya, namun jet tempur itu enggan mematuhi arahan.

Susulan kedegilan dua pesawat Rusia itu, Turki mengerahkan pesawat pejuang jenis F-16 me­nembak sebuah jatuh pesawat Su-24 terbabit, menyebabkannya terhempas di sebuah kawasan pergunungan di wilayah Latakia di sempadan Syria-Turki.

Rakaman video yang disiarkan rangkaian televisyen Turki, Haberturk TV menunjukkan pesawat Rusia itu terbakar sebelum terhempas, menyebabkan asap tebal terhasil.

Satu lagi video yang didedahkan, memaparkan mayat juruterbang berpakaian seragam tentera Rusia, dikelilingi anggota penentang kerajaan Syria.

Sebuah lagi pesawat Rusia itu dilaporkan hilang.

Presiden Rusia, Vladimir Putin dalam reaksinya menuduh tindakan Turki sebagai ‘tikaman dari belakang’.

“Kehilangan pada hari ini adalah tindakan tikaman dari belakang yang dilakukan pihak yang bersekongkol dengan keganasan.

“Kami tidak akan bertolak-ansur dengan jenayah seperti ini,” katanya sebagaimana laporan agensi berita TASS.

Moscow terlibat dalam pe­perangan di Syria dengan me­lancarkan serangan udara terhadap kedudukan militan Negara Islam (IS) di negara terbabit sejak dua bulan lalu.

Insiden itu berlaku ketika kerajaan Turki menyuarakan kemarahan terhadap kempen pengeboman yang dilakukan oleh Rusia dan Syria di utara negara bergolak tersebut sehingga menyebabkan tercetus-nya isu pencerobohan ruang udara.

Ankara yang merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata, isu tersebut akan dibawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan NATO untuk tindakan lanjut. – AFP/REUTERS