Menurut agensi berita Anadolu, serbuan awal pagi ini menyaksikan anggota dan pemimpin parti itu ditahan kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan dari Parti Pekerja Kurdistan (PKK) atau mengeluarkan propaganda bagi kumpulan berkenaan.

Operasi penangkapan dan siasatan antikeganasan itu dilakukan ekoran dua serangan bom di Istanbul yang mengorbankan 44 orang, kebanyakannya anggota polis kelmarin.

Kumpulan Kurdistan Freedom Falcons (TAK) yang dipercayai satu cabang radikal PKK mengaku bertanggungjawab terhadap serangan di luar stadium Turki yang turut mencederakan lebih 150 orang yang lain.

Menurut Anadolu, berpuluh-puluh pegawai di Istanbul termasuk pemimpin HDP, Aysel Guzel ditahan manakala 18 lagi ditahan di ibu negara Turki.

Penahanan lain termasuk di wilayah-wilayah selatan Adana dan Mersin, Manisa di barat Turki serta Sanliurfa di tenggara wilayah bergolak di negara ini.

Menteri Kesihatan Turki, Recep Akdag mengesahkan, kejadian letu­pan kira-kira pukul 10.30 malam waktu tempatan pada Sabtu lalu itu mengorbankan berpuluh-puluh pegawai polis dan orang awam.

Dalam kejadian tersebut, sebuah bom kereta diletupkan dua jam selepas berakhirnya perlawanan bola sepak Liga Turki antara pasukan Besiktas dan Bursaspor di luar sebuah stadium bola sepak di daerah Besiktas di Istanbul.

Menurut Menteri Dalam Nege­ri, Suleyman Soylu, beberapa saat kemudian, serangan bom berlaku di Macka Park dalam daerah yang sama apabila seorang pengebom bertindak meletupkan dirinya selepas dikesan polis yang berkawal di kawasan itu.

Sementara itu, Presiden Recep Tayyip Erdogan berikrar untuk membanteras masalah keganasan di Turki sehingga ke akar umbi.

Bulan lalu, 10 Ahli Parlimen HDP termasuk pemimpin bersama parti itu, Selahattin Demirtas dan Figen Yuksekdag ditahan.

Mereka didakwa menganggotai PKK atau mempromosikan pertubuhan tersebut dan sedang ditahan reman untuk membantu siasatan.

PKK yang dilabel sebagai organi­sasi pengganas oleh Ankara, Brussels dan Washington, telah melancarkan pemberontakan menentang kerajaan Turki sejak 1984. – AFP