Turki juga menurut Presiden Recep Tayyip Erdogan sedang memulakan inisiatif di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membatalkan keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan mahu memindahkan pejabat kedutaannya ke bandar berkenaan.

Usaha Turki dan Lebanon membuka pejabat kedutaan di bandar berkenaan adalah penting bagi ‘membalas’ tindakan Trump itu.

Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berkata, tindakan tersebut akan dilakukan sebaik sahaja dunia mengiktiraf kemerdekaan Palestin.

“Pada masa ini, negara-negara yang masih belum mengiktiraf kemerdekaan Palestin, secara amat serius perlu berbuat demikian dan sebaik sahaja (kemerdekaan dicapai), kami akan membuka pejabat kedutaan ini,” katanya.

Menteri Luar Lebanon, Gebral Bassil pula berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas tentang kesediaan Beirut mewujudkan pejabat kedutaan di Baitulmuqaddis Timur.

Gebral telah menghubungi Mahmoud melalui panggilan telefon dan kedua-dua kerajaan telah berbincang untuk bertukar-tukar wilayah bagi membina pejabat kedutaan tersebut.

“Mahmoud berjanji akan bertindak segera menyerahkan kawasan di Baitulmuqaddis Timur kepada Lebanon,” katanya.

Setakat ini, pihak berkuasa Israel enggan memberi sebarang kenyataan berhubung tindakan kedua-dua negara itu.

Sementara itu, jurucakap pihak berkuasa Palestin, Xavier Abu Eid berkata, Baitulmuqaddis Timur adalah sebahagian daripada kawasan Palestin dan telah diiktiraf oleh masyarakat dunia.

“Sudah menjadi perkara biasa bagi mana-mana negara yang mengiktiraf Palestin untuk membina pejabat kedutaan masing-masing di bandar ini,” katanya.

Lebanon tidak pernah mempunyai hubungan diplomatik de­ngan Israel manakala Turki merupakan negara Islam pertama yang mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel pada 1949.

Dalam pada itu, ahli-ahli Parlimen Arab memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa Parlimen bagi menjalin hubungan langsung dengan Ke­satuan Eropah (EU) dan Parlimen serantau berkaitan perkemba­ngan tindakan Trump terhadap proses damai di rantau Asia Barat.

Pihak berkenaan juga bersetuju untuk memastikan pembinaan Ibu pejabat Majlis Perundangan Palestin di bandar Baitulmuqaddis. – AGENSI