Parlimen Turki pada masa sama sedang menimbang untuk membentangkan usul sama ada akan mengambil tindakan ketenteraan ke atas kumpulan militan itu di Iraq dan Syria.

Turki mengerahkan kereta kebal dan kenderaan berperisai ke bandar Mursitpinar di sempadan kedua-dua negara yang berhampiran dengan bandar utama Kurdis di Syria, Ain al-Arab selepas beberapa peluru sesat mengenai perkampungan Turki.

Keadaan itu membangkitkan tindak balas daripada tentera Turki di bawah 'peraturan pertempuran'.

Kerajaan Turki berkata, pihaknya akan segera mengemukakan usul kepada Parlimen bagi membolehkan tindakan ketenteraan diambil di Iraq dan Syria, sekali gus membolehkan Ankara menyertai pakatan tentera yang diketuai Amerika Syarikat (AS) bagi memerangi IS.

"Usul itu masih belum lagi diserahkan kepada Parlimen dan mungkin dilakukan hari ini," kata Speaker Parlimen, Cemil Cicek yang dipetik televisyen NTV.

Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu berkata, usul itu akan dibahaskan di Parlimen pada Khamis ini dan mereka berharap kelulusan dapat dibuat sebelum cuti Aidiladha yang bermula Sabtu ini.

Turki sebelum ini enggan menyertai pakatan ketenteraan ke atas IS yang diketuai AS, walaupun berpuluh-puluh rakyatnya termasuk diplomat dan kanak-kanak negara ini ditahan militan IS selepas diculik dari Konsulat Turki di Mosul, Iraq.

Semalam, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, IS yang disenarai hitam Ankara sebagai sebuah pertubuhan pengganas sejak 2013, tidak mempunyai kaitan dengan Islam, yang menurutnya 'tidak membenarkan sebarang kekejaman dan kekerasan'. - AFP/AGENSI