Walaupun Turki mempunyai hubungan kukuh dengan Kerajaan Wilayah Kurdistan (KRG), Ankara bimbang referendum itu akan mencetuskan kebangkitan kepada kumpulan pemisah dalam kala­ngan minoriti puak Kurdis sendiri.

Erdogan memberi bayangan tentera Turki telah bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang ancaman.

Pintu keluar masuk akan ditutup di laluan sempadan Habur yang merupakan satu-satunya kawasan sempadan menghubungkan Turki dan Iraq.

“Selepas ini kita akan lihat bagaimana mereka akan hantar minyak ke negara ini dan siapa pembelinya,” jelas Erdogan.

Minyak Kurdis Iraq dieksport melalui Turki dan Pelabuhan Ceyhan di selatan negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Iraq tidak akan mengadakan sebarang perbincangan dengan KRG berhubung keputusan referendum yang disifatkan tidak sah, tegas Perdana Menteri, Haider al-Abadi.

“Kami tidak bersedia atau mahu mengadakan dialog berhubung keputusan referendum itu kerana tidak mengikut undang-undang yang sah.

“Kebanyakan masalah di rantau itu adalah bersifat dalaman, tidak berkaitan dengan Baghdad dan boleh mencetuskan perpecahan. Masalah ekonomi dan kewangan di rantau tersebut adalah disebabkan oleh penyelewengan dan pentadbiran yang kurang cekap,” kata Haider dalam ucapannya yang disiarkan stesen penyiar tempatan semalam.

Sementara itu, pemimpin KRG, Masoud Barzani berkata, referendum itu tidak terikat dan merupakan mandat sahih bagi mengadakan rundingan bersama Baghdad serta negara-negara jiran bagi memisahkan wilayah berkenaan daripada Iraq. – AGENSI/AFP