Ekoran itu, kerajaan pusat Sepanyol membatalkan kuasa autonomi Catalonia dan mengambil alih pentadbiran wilayah itu.

Madrid turut memecat Presiden Catalonia, Carles Puigdemont yang kini melarikan diri ke Belgium bagi mengelak ditangkap dan didakwa di mahkamah. Pemimpin-pemimpin lain termasuk ketua polis wilayah itu juga menerima nasib sama.

Bagi menyelesaikan ketegangan di Catalonia, kerajaan Sepanyol menetapkan pilihan raya semula di wilayah itu pada 21 Disember ini. Bagaimana ketegangan itu bermula? Ikuti dalam Rencam minggu ini.

Kenapa adakan referendum?

MESKIPUN diberikan kuasa autonomi, sesetengah pemimpin di Catalonia beranggapan wilayah itu masih tidak memiliki kebebasan dan kuasa mencukupi daripada kerajaan Sepanyol. Mereka mahu Catalonia diberikan kuasa untuk mentadbir wilayah itu sepenuhnya tanpa ada campur tangan daripada kerajaan Sepanyol.

Dalam isu tersebut, mereka mahu penduduk Catalonia diberikan hak untuk menyatakan pendirian mereka menerusi referendum kemerdekaan, sama seperti rakyat Scotland yang mengundi sama ada mahu kekal atau keluar dari United Kingdom (UK).

Sejak lima tahun lalu, desakan semakin meningkat supaya kerajaan Sepanyol membenarkan proses pengundian itu berjalan. Malah, ahli-ahli politik yang menyokong kemerdekaan Catalonia memenangi pilihan raya di wilayah pada 2015, sekali gus menguatkan lagi tekanan ke atas kerajaan Sepanyol supaya membenarkan referendum itu diadakan.

Namun, Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy menolak permintaan tersebut dengan alasan ia menyanggahi perlembagaan negara itu. Begitupun, bukan semua penduduk Catalonia bersetuju dengan pandangan yang mahu wilayah itu berpisah dari Sepanyol. 

Pada pandangan mereka, Catalonia sudah menikmati banyak kebebasan untuk ditadbir sendiri, sama seperti beberapa kawasan lain di Sepanyol seperti Basque dan Galicia.

Sebab itu, kita dapat lihat di Catalonia, bukan hanya ada kumpulan yang membuat demonstrasi menuntut kemerdekaan, malah ada kumpulan yang turun ke jalanan menyokong penyatuan Sepanyol.

Bagaimana boleh sampai ke tahap ini?

BAGI memahami apa yang sedang berlaku di Catalonia, adalah penting untuk menyoroti sejarah kawasan tersebut. Catalonia adalah antara kawasan terkaya dan termaju di Sepanyol dengan populasi 7.5 juta penduduk Terletak di bahagian timur laut Sepanyol, Catalonia mengandungi empat wilayah iaitu Barcelona (ibu negeri), Girona, Lleida dan Tarragona.

Rakyat Catalonia berbangga dengan identiti mereka yang tersendiri. Mereka mempunyai budaya, bendera dan bahasa sendiri iaitu Catalan. Bahasa itu  bukanlah dialek bahasa Sepanyol, sebaliknya lebih mirip dengan bahasa Perancis dan Itali. 

Kemuculan Catalonia sebagai entiti berbeza bermula dengan kebangkitan wilayah Barcelona pada kurun ke-11. Pada kurun ke-12, Barcelona diletakkan di bawah pemerintahan kerajaan Aragon, sebuah kerajaan monarki di Iberia pada zaman pertengahan Eropah.

Catalonia menjadi sebahagian Sepanyol sejak penubuhan negara itu pada kurun ke-15, apabila Raja Ferdinand dari Aragon dan Permaisuri Isabella dari Castile berkahwin dan menyatukan kerajaan mereka. 

Penduduk Catalonia pernah memberontak terhadap kerajaan Sepanyol apabila diminta membayar cukai dalam Pemberontakan Catalonia (1640-1652) yang berakhir dengan kekalahan.

Apabila Sepanyol menjadi republik pada 1931, Catalonia menikmati kuasa autonomi yang meluas. Namun, Catalonia sekali lagi kehilangan kuasa autonominya selepas kejatuhan kerajaan Republikan dalam rampasan kuasa oleh tentera haluan kanan yang diketuai Jeneral Francisco Franco dalam Perang Saudara Sepanyol (1936-1939).

Sepanjang pemerintahan kuku besi Franco dari 1939 hingga 1975, Catalonia turut ditekan sehingga penggunaan bahasa Catalan turut dihadkan.

Kebangkitan gerakan pemisah dan kemerdekaan

SELEPAS kematian Franco pada 1975, demokrasi dipulihkan di Sepanyol. Pada 1977, Catalonia diberikan semua kuasa autonomi tetapi amat terhad dan cuba memperoleh kuasa autonomi lebih besar pada 1979 menerusi penggubalan Statut Autonomi Catalonia.

Kini, Catalonia mempunyai Parlimen dan badan eksekutifnya sendiri, kedua-duanya dikenali sebagai Generalitat.

Pada 2006, statut itu dipinda bagi memperluaskan kuasa autonomi Catalonia. Tetapi pada 2010, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol  memutuskan sebahagian fasal dalam undang-undang itu tidak sah kerana melanggar perlembagaan negara tersebut.

Antaranya, interpretasi merujuk Catalonia sebagai sebuah negara dan penggunaan bahasa Catalan mengatasi bahasa Sepanyol di wilayah tersebut.

Keputusan mahkamah itu dituduh sebagai serangan ke atas maruah rakyat Catalonia dan dilihat sebagai cubaan kerajaan pusat untuk mengehadkan tuntutan kemerdekaan Catalonia, sekali gus membangkitkan semangat rakyat wilayah itu untuk berpisah dari Sepanyol.

Selain itu, ramai rakyat Catalonia tidak berpuas hati dengan cara kerajaan Sepanyol menguruskan krisis hutang negara pada 2008. Mereka juga kecewa kerana walaupun wilayah itu menyumbang 19 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sepanyol, kadar pekerjaan di situ lebih rendah berbanding wilayah-wilayah lain dalam negara itu. Mereka beranggapan wilayah itu memberikan lebih banyak kepada Sepanyol berbanding apa yang diterima.

Susulan rasa tidak puas hati itu, pada 2014 kerajaan Catalonia mengadakan satu referendum kemerdekaan tidak rasmi dengan 80 peratus pengundi menyokong kemerdekaan wilayah itu dan pada awal September lalu, Parlimen Catalonia meluluskan undang-undang untuk mengadakan referendum kemerdekaan. Walaupun diputuskan tidak sah oleh Mahkamah Perlembagaan Sepanyol, pungutan suara itu tetap dijalankan pada 1 Oktober lalu.

Berdasarkan keputusan referendum itu, Parlimen Catalonia meluluskan usul penubuhan sebuah republik merdeka secara unilateral pada 27 Oktober lalu. Namun, pengisytiharan kemerdekaan itu tidak diiktiraf oleh Sepanyol dan juga Kesatuan Eropah sekali gus menimbulkan tanda-tanya apakah kesudahan ketegangan di Catalonia?

Pilihan raya Catalonia yang dijadualkan pada 21 Disember ini diharap dapat menyelesaikan kemelut yang sedang melanda wilayah itu.