Kumpulan penunjuk perasaan yang diterajui Barisan Pertahanan Islam (FPI) Indonesia, turut mendesak supaya pemimpin berketurunan Cina beragama Kris­tian itu dipecat daripada jawatannya.

Kebanyakan peserta yang me­ngambil bahagian dalam tunjuk perasaan itu memakai jubah putih, berserban atau berkopiah putih serta mengibarkan bendera Indonesia sepanjang perjalanan menuju ke Istana Presiden.

Ada juga dalam kalangan mereka yang membawa kain rentang dan sepanduk bagi menyatakan bantahan terhadap perbuatan Ahok yang dianggap mencemarkan nama baik Islam.

Berpuluh-puluh trak polis dan tentera termasuk yang dilengkapi senjata ditempatkan di beberapa buah lokasi strategik termasuk di pusat-pusat beli-belah sepanjang tunjuk perasaan berlangsung.

Kira-kira 18,000 anggota ke­selamatan daripada kedua-dua pa­sukan beruniform itu telah dikerah berjaga-jaga dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang bantahan itu.

Pada masa yang sama, akhbar-akhbar tempatan melaporkan, ke­­diaman Ahok yang terletak di Pantai Mutiara, Pluit, Jakarta Utara juga berada di bawah pengawasan ketat.

Disebabkan tunjuk perasaan itu juga, situasi tegang melanda kota yang mempunyai kepadatan penduduk lebih 10 juta penduduk dengan beberapa buah syarikat membenarkan kakitangan mereka bekerja dari rumah.

Pusat-pusat perniagaan turut ditutup manakala beberapa kedutaan mengarahkan supaya rakyat masing-masing tidak terlibat de­ngan tunjuk perasaan itu.

Ahok yang mempunyai hubung­an akrab dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi meme­gang jawatan Gabenor Jakarta sejak dua tahun lalu selepas penyandang­nya itu berundur untuk bertanding jawatan Presiden. – REUTERS/AFP