Kajian yang dilakukan terhadap pakaian-pakaian yang ditemukan daripada kubur berusia dari abad kesembilan dan ke-10 itu secara tidak langsung memberi gambaran mengenai hubu­ngan pahlawan Viking dengan dunia Islam.

Tulisan Arab yang ditenun dengan benang emas dan perak pada pakaian tersebut dieja sebagai Allah dan Ali.

Penemuan itu didedahkan selepas ahli arkeologi tekstil, Annika Larsson dari Universiti Uppsala meneliti semula kesemua sisa pakaian pengebumian yang ditemukan pada bot lelaki serta wanita Viking dan sebuah makam yang digali di Birka dan Gamla Uppsa pada akhir abad ke-19 dan 20.

Lapor BBC, Larsson mula meminati untuk mengkaji pakai­an tersebut selepas beliau menyedari bahan yang digunakan untuk membuat pakaian tersebut berasal dari tengah Asia, Parsi dan China.

Larsson menyatakan bahawa beliau tidak pernah melihat corak geometri kecil yang ditemukan pada pakaian tersebut dalam mana-mana penemuan di Scandinavia sebelum menyedari corak itu adalah tulisan purba.

“Corak tulisan pertama yang saya kenal pasti dengan bantuan rakan dari Iran adalah Ali dan satu lagi pada mulanya agak sukar untuk dilihat namun setelah diteliti dari pelbagai sudut, tulisan yang tertera adalah Allah,” katanya.

Larsson setakat ini sudah mene­mukan sekurang-kurang­nya 10 corak tulisan Arab pada 100 pakaian pengebumian dan setiap satunya saling berpasa­ngan iaitu Allah dan Ali.

Penemuan baharu itu juga mencetuskan persoalan mengenai agama dengan Larsson memaklumkan kemungkinan jasad-jasad di dalam semua kubur yang ditemukan adalah beragama Islam tidak boleh disangkal.

Hal demikian kerana keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) menunjukkan beberapa pahlawan Viking yang dikebumikan kebanyakannya berasal dari Parsi.

“Bagaimanapun, penemuan ini cenderung menunjukkan adat pengebumian Viking dipengaruhi idea Islam seperti hidup kekal abadi di dalam syur­ga selepas mati,” jelasnya.

Pasukannya kini menjalin kerjasama dengan­ Jabatan Imunologi, Genetik dan Patologi Universiti Uppsala untuk merungkai asal usul jasad-jasad yang dipakaikan dengan pakaian pengebumian Viking.