Kerajaan Sepanyol semalam mengumumkan keputusan untuk mengusir Duta Besar Korea Utara ke Madrid, Kim Hyok Choi, menerusi akaun twitter yang dimuat naik selepas pukul 8 malam waktu tempatan dan mengarahkan beliau menamatkan tugasnya sebelum 30 September ini.

Kelmarin, Kuwait telah memerintahkan Duta Besar Korea Utara, So Chang Sik dan empat diplomat lain meninggalkan pejabat kedutaan mereka di Kuwait City yang juga satu-satunya stesen diplomatik di rantau Teluk dalam tempoh sebulan apabila negara itu memutuskan untuk mengurangkan hubungan diplomatik dengan Pyongyang.

Peru, Mexico turut melakukan perkara sama sejak awal bulan ini dengan Mesir bertindak memutuskan hubungan ketenteraan dengan Korea Utara manakala Kementerian Luar Manila menggantung hubungan perdagangan dengan negara itu untuk mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun negara miskin itu masih mempunyai 49 misi di luar negara, dan hubungan diplomatik dengan 160 buah negara, menurut Kementerian Unifikasi Korea Selatan dengan misi terbesarnya di Moscow dan Beijing selain pejabat kedutaan besar di London, Rom, Stockholm, dan Berlin selain puluhan kedutaan kecil di seluruh Afrika dan Asia.

Sementara itu, Korea Utara dalam kenyataannya memberi amaran bahawa tekanan berterusan oleh negara-negara besar dunia hanya akan mempercepatkan program nuklearnya sambil menyifatkan sekatan terbaharu PBB sebagai tindakan permusuhan paling kejam dan tidak beretika.– REUTERS