Trump turut menegaskan, pihak Perbendaharaan AS akan mengenakan sekatan terhadap Pyongyang selepas menyenarai hitam negara itu sebagai pengganas bersama-sama dengan Iran, Sudan dan Syria.

“Keputusan ini sepatutnya dibuat lama dahulu. Selain me­ngancam dunia dengan kemusnahan nuklear, Korea Utara telah berulang kali menyokong perbuatan keganasan antarabangsa, termasuk pembunuhan di tanah asing.

“Kita mengenakan sekatan dan hukuman ke atas Korea Utara dan individu yang berkaitan terma­suk menyokong kempen memberikan tekanan maksimum un­tuk mengasingkan rejim pembunuh itu,” kata Trump kepada wartawan di White House.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson berkata, Washington terus berharap sekatan dan diplomasi akan dapat menarik Kim Jong-un ke meja rundingan bagi membincangkan perlucutan senjata nuklearnya.

Tillerson berkata, tindakan sekatan yang dikenakan mempunyai kesan yang ketara terhadap ekonomi Pyongyang walaupun China masih belum menghentikan bekalan minyak ke kilang penapisannya.

“Kami sedar berlaku kekurangan bahan api ketika ini berdasarkan maklumat yang dikumpul hasil risikan. Kami tahu pendapatan mereka mereka berkurangan, jadi saya fikir ia memberi kesan,” katanya.

Korea Utara dimasukkan ke dalam senarai penaja keganasan AS ekoran pengeboman penerbangan Korea Selatan pada tahun 1987 yang membunuh semua 115 penumpang dan anak kapal.

Bagaimanapun pentadbiran bekas Presiden, George W. Bush mengeluarkan Pyongyang daripada senarai tersebut sebagai pertukaran terhadap kemajuan dalam perbincangan perlucutan senjata nuklearnya pada tahun 2008.

Korea Selatan dan Jepun turut mengalu-alukan keputusan Trump dan menegaskan usaha itu akan meningkatkan tekanan ke atas Pyongyang untuk membebaskan semenanjung Korea daripada senjata nuklear.

Semalam, agensi perisikan Korea Selatan berkata, Korea Utara mungkin melakukan ujian peluru berpandu tambahan tahun ini bagi memantapkan teknologi pe­luru berpandu jarak jauhnya selain meningkatkan ancaman terhadap AS.

Ahli jawatankuasa perisikan Parlimen Korea Selatan yang diberi taklimat oleh Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Seoul, Yi Wan-young berkata, negara itu menjalankan ujian enjin peluru berpandu baru-baru ini selepas pergerakan kenderaan dilihat berhampiran kemudahan peluru berpandunya.

“Agensi kami memantau rapat perkembangannya kerana kemungkinan Korea Utara mahu melancarkan pelbagai peluru berpandu balistik tahun ini berselin­dung atas nama pelancaran satelit dan pembangunan ruang udara secara aman,” katanya. –AFP/REUTERS