Portal berita Kompas.com melaporkan, lapan minit kemudian, ombak tsunami terbentuk dan membadai kawasan pesisir pantai.

Jurucakap BIG, Mohamed Arief Syafil berkata, tsunami direkodkan mula terbentuk enam minit selepas gempa melanda Palu dan pada pukul 6.10 petang waktu tempatan, ombak besar itu sudah melanda pelabuhan Palu di Pantoloan.

Jarak dari bandar ke Pelabuhan Palu hanya sekitar 28 kilometer dengan tempoh tsunami yang melanda kedua-dua kawasan tersebut tidak sampai satu minit.

“Tinggi maksimum ombak tsunami yang direkodkan di Pantoloan adalah dua meter dan ukurannya dijangka lebih tinggi ketika membadai bandar Palu yang terletak di kawasan teluk,” katanya.

Badan Pengurusan Nasional Bencana (BNPB) sebelum ini menyatakan ombak tsunami di bandar Palu berukuran enam meter.

Dalam pada itu, seorang pengkaji di Institut Sains Indonesia (LIPI), Eko Yulianto memaklumkan langkah-langkah pencegahan akibat tsunami perlu seiring dengan usaha mendidik masyarakat mengenai gempa bumi.

“Kami pernah temu bual seorang mangsa yang terselamat dalam bencana tsunami di Mentawai pada 25 Oktober 2010. Mangsa memberitahu dia melarikan diri selepas melihat berita yang melaporkan risiko berlaku tsunami selepas gempa bumi berlaku ketika itu,” jelasnya.