Dalam wawancara dengan agensi berita Reuters semalam, Trump percaya Korea Utara sudah mengambil beberapa langkah spesifik untuk menghentikan program nuklear biarpun timbul banyak keraguan mengenai kesediaan Jong-un untuk melepaskan program tersebut.

Trump mengadakan sidang kemuncak yang pertama se­umpama­nya di Singapura pada 12 Jun lalu.

Sambil menegaskan banyak perkara yang baik berlaku antara Washington dengan Pyonyang, Presiden As itu merungut tentang China yang tidak banyak membantu seperti mana sebe­lumnya kerana pertikaian perdagangannya dengan AS.

Trump mendabik dada bahawa beliau hanya memerlukan masa selama tiga bulan untuk mengatur pertemuan dengan Jong-un berbanding Presiden AS sebelum ini selama 30 tahun.

“Saya menghentikan ujian nuklear Korea Utara. Saya hentikan ujian peluru berpandu mereka. Jepun berasa teruja. Apa yang akan berlaku? Siapa tahu? Kita akan lihat nanti,” katanya.

Dalam sidang kemuncak di Singapura, pemimpin Korea Utara bersetuju untuk melucutkan senjata tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa ia akan dilakukan secara unilateral se­perti dikehendaki AS.

Trump menyifatkan pertemuannya dengan Jong-un di Si­ngapura pada 12 Jun lalu sebagai satu kejayaan dan menyatakan Korea Utara tidak lagi memberikan ancaman nuklear.

Laman sesawang 38 North yang berpusat di Washington pada bulan lalu mendedahkan beberapa imej satelit menunjukkan Korea Utara memusnahkan tapak ujian nuklear yang sebelum ini digunakan untuk menghasilkan enjin bagi peluru berpandu.

Namun, pasukan perunding AS menegaskan mereka tidak melihat Korea Utara mengambil sebarang langkah untuk menghentikan program senjata nuklearnya dengan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mendedahkan Pyongyang masih menghasilkan uranium untuk membuat bom nuklear.

Sementara itu, Trump ya­kin bahawa rancangan untuk bertemu lagi dengan Jong-un bakal berjalan lancar, tetapi beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara ­tersebut.

Dalam perkembangan lain, Se­tiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bercadang mem­­bincangkan langkah-langkah menghentikan program senjata nuklear di Semenanjung Korea pada perhimpunan pemimpin dunia dalam mesyuarat PBB bulan depan. – AGENSI