JAMES COMEY
JAMES COMEY

Comey berkata demikian dalam temu bual bersama ABC News sempena pelancaran buku tulisannya bertajuk A Higher Loyalty: Truth, Lies and Lea­dership yang mengisahkan inte­raksinya dengan Pre­siden AS itu.

Temu bual itu merupakan yang pertama bagi Comey selepas beliau dipecat pada Mei tahun lalu dan pemecatan itu hanya diketahuinya daripada berita TV.

“Saya rasa beliau dari segi mo­ralnya tidak layak digelar Presiden dan beliau akan me­ninggal kesan buruk terhadap orang di sekelilingnya.

“Persoalan di sini, seberapa banyak ‘kesan buruk’ baru boleh (dianggap) sebagai menghalang anda mencapai matlamat untuk melindungi dan berkhidmat kepada negara?,” katanya.

Selain itu, bekas pengarah FBI mengkritik Trump mengenai sikapnya yang sering memperlekehkan wanita dan menipu tentang banyak perkara bagi membuatkan rakyat negara ini mempercayainya.

Sementara itu, Comey da­lam temu bual itu juga memaklumkan bahawa Trump ‘menghalang keadilan’ apabila memintanya untuk menggugurkan siasatan terhadap bekas Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Michael Flynn.

Dalam buku tersebut, Comey menggambarkan Trump sebagai seorang yang tidak jujur, bersikap seperti ketua mafia serta menuntut kesetiaan yang keterlaluan.

Bagaimanapun, Trump menafikan dakwaan bekas pengarah FBI itu dan menegaskan Comey berbohong mengenai banyak perkara.

Trump turut menyifatkan Comey bertindak bodoh ketika menguruskan siasatan terhadap pesaingnya dalam pilihan raya Presiden 2016, Hillary Clinton yang didakwa menggunakan pelayan emel peribadi ketika menjawat jawatan sebagai Setiausaha Negara AS. – AFP