Video berkenaan dipercayai dirakam 10 tahun lalu semasa Trump dijemput sebagai tetamu selebriti pada pertandingan gusti namun disiarkan semula seminggu selepas beliau menghentam rancangan bual bicara MSNBC melalui Twitter miliknya yang kemudian menerima kecaman pemimpin politik kedua-dua belah pihak.

Para wartawan turut me­ngutuk tindakan Trump itu yang dilihat sebagai usaha pemimpin berkenaan untuk menggalakkan keganasan fizikal terhadap media manakala wakil rakyat Parti Republikan menegaskan Trump cuba untuk ‘menimbulkan syak wasangka’ menerusi status Twitter berkenaan.

Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai White House me­negaskan Trump mempunyai hak untuk menjawab balik liputan yang kritikal.

Menerusi video selama 28 saat itu, Trump yang memakai sut dan tali leher dilihat memukul seorang lelaki yang juga memakai sut dan sedang berdiri berhampiran gelanggang gusti.

Bilionair itu dilihat berulang kali memukul lelaki itu yang wajahnya ditutup dengan logo CNN dan kemudian logo palsu CNN muncul di skrin televisyen.

Versi panjang video dalam talian itu menunjukkan lelaki berkenaan merupakan penganjur World Wrestling Entertainment (WWE), Vince McMahon, yang juga rakan Trump.

Trump baru-baru ini meningkatkan serangan terhadap media termasuk CNN, NBC, The Wa­shington Post dan The New York Times. – AFP