Anugerah itu diumumkan beberapa jam selepas Senator John McCain dari Parti Republikan menuduh pemimpin AS itu meremehkan kebebasan media.

Pemenang anugerah itu di­umumkan menerusi laman Parti Republikan, GOP.com dan turut dikongsi di sebuah entri di akaun Twitter rasmi beliau.

Antara pemenang anugerah itu adalah rangkaian televisyen dan akhbar terkemuka, CNN, The New York Times dan The Washington Post, firma media yang kerap menjadi sasaran Trump.

Menurut Trump, anugerah itu merupakan anugerah buat pihak media yang ‘paling tidak jujur dan korup sepanjang tahun 2017’.

Daripada 11 ‘anugerah’, saluran berita CNN menerima empat anugerah daripadanya dengan dakwaan melaporkan empat isu yang berbeza dengan fakta yang salah.

Pemenang anugerah Nobel Ekonomi, Paul Krugman yang menulis kolum pendapat bagi The New York Times mendapat tempat pertama.

Pihak pentadbiran berkata, beliau memenangi anugerah itu kerana menulis tentang hari bersejarah Trump dengan mendakwa kemenangan besar pemimpin itu tidak akan memulihkan ekonomi Amerika.

Senarai itu turut menekankan kesilapan daripada wartawan veteran ABC, Brian Ross yang digantung tugas selama empat minggu tanpa gaji selepas beliau dipaksa membetulkan laporan kontroversi tentang bekas pembantu Trump, Michael Flynn.

Twitter Presiden Amerika Sya­rikat itu kemudiannya mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna internet dan kebanyakan­nya mempersendakan Trump. – AFP