Arahan Trump kepada Comey itu ditulis dalam bentuk memo selepas kedua-dua pihak menghadiri mesyuarat di White House pada Februari lalu, sehari selepas Flynn meletak jawatan.

“Saya harap anda boleh biarkan perkara ini,” kata Trump sebagaimana lapor BBC.

Bagaimanapun White House menafikan dakwaan itu dalam satu kenyataan.

“Presiden tidak pernah me­min­ta Comey atau mana-mana individu supaya menghentikan sebarang siasatan termasuk siasatan ke atas Flynn,” kata kenya­taan itu.

Pendedahan itu mendorong ja­wa­tankuasa pemantauan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) untuk menetapkan tarikh akhir 24 Mei ini bagi FBI mengemukakan semua bukti komunikasi antara Trump dan Comey.

Ketua Jawatankuasa itu yang juga anggota Parti Republikan, Jason Chaffetz dalam suratnya kepada pemangku FBI menggesa agensi terbabit mengemukakan kesemua memo, nota, ringkasan dan rakaman yang merujuk kepada atau berkaitan dengan sebarang perbualan antara Comey dan Presiden.

Dakwaan itu pertama kali dila­porkan oleh New York Times seminggu selepas Trump memecat Comey ekoran pengurusan beliau dalam siasatan FBI berhubung penggunaan server e-mel peribadi oleh Hillary Clinton semasa beliau berada di Jabatan Negara AS.

Pemecatan Comey nyata me­nge­jutkan semua pihak de­ngan pengkritik mendakwa Trump cu­ba mengalihkan fokus siasatan FBI berhubung campur tangan Rusia dalam pilihan raya presiden AS dan sebarang hubungan Moscow dan sekutu Trump.

Malah, laporan itu turut membangkitkan gesaan semula oleh anggota Kongres supaya satu siasatan bebas mengenai kemungkinan kaitan pasukan kempen Trump dengan Rusia dan Comey perlu membuat pengakuan di Dewan Kongres.

“Ini merupakan dakwaan serius mengenai jenayah menghalang keadilan dan kami perlu mende­ngar pengakuan segera daripada Comey,” kata wakil Parti Demokrat, Eiljah Cummings dalam satu kenyataan. – AGENSI/REUTERS

Moon Jae-in