Al Jazeera melaporkan, pakar analisis keselamatan melahirkan kebimbangan bahawa teknologi tersebut memboleh­kan Arab Saudi menghasilkan senjata nuklear pada masa akan datang, sekali gus menyum­bang kepada perlumbaan senjata di Asia Barat.

Ahli-ahli politik AS pula bimbang mengenai kestabilan pentadbiran Arab Saudi di bawah pimpinan Putera Mahkotanya, Putera Mohammed bin Salman atau lebih dikenali sebagai MBS yang didakwa terlibat dalam pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi serta perang di Yemen.

Beberapa ‘pemberi maklumat’ juga memberi amaran mengenai percubaan White House yang ingin mempercepatkan pembinaan loji kuasa nuklear baharu di Riyadh.

Anggota Kongres, Elijah Cummings yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Demokrat berkata, terdapat beberapa pemberi maklumat berpendapat berkemungkinan tercetusnya konflik kepentingan dalam kalangan penasihat tertinggi White House.

Sehubungan itu, jawatan tersebut kini menyiasat mana-mana syarikat kuasa nuklear yang berusaha mendapatkan kelulusan daripada pentadbiran Trump untuk membina loji kuasa di Riyadh serta beberapa negara Arab yang lain.

Dalam pada itu, usaha White House untuk mempercepatkan pembinaan loji kuasa tersebut sudah mula digerakkan sebelum ini apabila Trump me­ngadakan pertemuan dengan wakil konsortium kuasa nuklear iaitu IP3 International bagi membincangkan pembangunan nuklear di Riyadh dan Jordan.

Selain itu, satu usul dikemukakan dalam Dewan Senat oleh ahli Demokrat dari Oregon, Jeff Merkeley bersama Senator Rand Paul yang ingin menyekat Arab Saudi daripada membangunkan bahan membuat bom dengan melarang negara itu menghasilkan uranium atau menggunakan semula plutonium daripada loji kuasa nuklear yang bakal dibangunkan.

Sementara itu, satu badan penasihat bukan kerajaan yang berpangkalan di sini, Ploughshares Fund memaklumkan bahawa, keputusan Trump untuk mempercepatkan binaan loji kuasa nuklear di Riyadh adalah berkaitan dengan faktor kewa­ngan dan ingin ‘mendorong’ Arab Saudi menentang Iran.

Namun katanya, Arab Saudi sebenarnya tidak memerlukan kuasa nuklear tetapi apabila negara itu sudah memiliki kemudahan teknologi itu, maka langkah berkenaan boleh menggalakkan Iran untuk menghidupkan semula program nuklear yang sudah lama ditangguhkan. – AGENSI