Dalam temu bual dengan Fox News sebagaimana dilaporkan portal RT, Trump sekali lagi mengungkit bahawa Washington membayar sejumlah wang yang besar untuk melindungi rakan-rakannya di Eropah tetapi usahanya itu dibalas dengan melakukan perkara yang ‘buruk’.

Kesatuan Eropah mungkin sama buruk (perilakunya) se­perti mana China, cuma tahapnya lebih kecil. Memang teruk apa yang dilakukan mereka terhadap kami.

“Mereka memperoleh lebihan dagangan sebanyak AS$151 bilion (RM608 bilion) tahun lalu. kami pula mencatatkan defisit perdagangan dengan EU, selain itu kami pula membelanjakan besar wang untuk NATO bertujuan melindungi mereka (EU),” kata Trump.

Tahun lalu, AS mencatatkan defisit perdagangan sebanyak AS$101 bilion (RM407 bilion) dengan Kesatuan Eropah dan sebagai perbandingan, jurang perdagangan dengan China pada tahun lalu berjumlah AS$336 bilion (RM1.3 trilion).

Trump yang melaksanakan dasar perlindungan America First dengan mengenakan tarif yang tinggi ke atas import keluli dan aluminium dari EU serta negara-negara lain termasuk China dan Kanada, langkah yang mengundang kemarahan sekutu AS.

Selepas EU memperkenalkan cukai ke atas barangan AS se­perti motosikal, minuman keras dan jus oren, Trump mengulangi kesediaan beliau untuk mensasarkan tarif terhadap sektor automotif Eropah dalam pusingan kedua perang perdagangan.

“Mari kita lihat (tentang) industri, mereka membawa ma­suk Mercedes mereka sedangkan kami tidak boleh menghantar kereta kami. Lihat apa yang mereka lakukan kepada petani kami? Mereka tidak mahukan produk ladang kami.

“Bagi berlaku adil, mereka mempunyai petani mereka dan mereka mahu melindungi petani masing-masing, tetapi kita tidak melindungi (petani) kita dan mereka melindungi (petani) mereka,” kata Trump.

EU, sementara itu memberi amaran kepada AS bahawa tindakan untuk mengenakan tarif import ke atas kereta dan komponen kenderaan akan menjejaskan industri automotif AS dan mungkin mendorong kepada pengenaan langkah serupa oleh rakan dagangan mereka terhadap eksport Amerika. – AGENSI/REUTERS