Berucap buat kali pertama atas kapasiti sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), Trump bagaimanapun tidak menggunakan ‘pentas besar’ itu sebagai medan ‘berbaik-baik’ dengan masyarakat antarabangsa susulan be­­berapa kontroversi yang pernah dicetuskannya sebelum ini.

Sebaliknya, pemim­pin tersebut menjadikan perhimpunan agung ber­kenaan sebagai platform untuk menghentam dan mengkritik negara-negara lain yang tidak ‘sebulu’ dengannya.

Selain mengugut mahu ‘meng­­han­curkan’ Korea Utara jika ne­­gara komunis itu ‘berdegil’ un­­tuk terus membangunkan sen­jata nuk­lear, Trump juga me­nyelar Iran apabila mendakwa negara republik itu mengamalkan pemerintahan rejim serta melanggar perjanjian nuklear.

Sepanjang 41 minit berucap, delegasi daripada beberapa negara lain termasuk Venezuela dan Cuba juga tidak ‘senang duduk’ gara-gara bahang daripada ‘ucapan berapi’ Trump itu.

Jika ada aspek positif sekalipun yang cuba ‘diketengahkan’ Trump sepanjang ucapannya ha­nyalah berkisar kepada penonjolan ‘kehebatan’ pentadbiran be­­liau dalam usaha ‘Menjadikan Amerika Hebat Semula’.

Pada masa yang sama, Trump juga langsung tidak menyentuh mengenai isu membabitkan penduduk etnik Rohingya yang ditindas di Myanmar dalam ucapannya.

Sebaliknya, pemimpin tersebut hanya mewakilkan Naib Presidennya, Mike Pence untuk menyatakan pendirian AS ketika sesi perjumpaan dengan negara-negara anggota Majlis Keselamatan PBB selepas itu.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya Trump meraih perhatian ‘luar biasa’ dan ucapannya menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat dunia khususnya de­legasi yang berada di ibu pejabat PBB di New York ketika itu.

Delegasi Venezuela umpa­ma­nya kelihatan gelisah apabila Trump menyifatkan Presiden me­reka, Nicolas Maduro sebagai pemimpin kepada ‘rejim yang me­ngamalkan rasuah’ ketika kerusi perwakilan Korea Utara pula dilihat kosong semasa pemimpin AS itu memulakan ucapannya.

Sebilangan delegasi lain juga seakan-akan tidak mengendahkan ucapan Trump apabila ada dalam kalangan mereka menunjukkan wajah ‘kebosanan’ dengan menopang dagu menggunakan tangan serta berbual sesama sendiri.

Hanya delegasi Israel yang diketuai Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu dilihat gembira dan bertepuk tangan di sam­ping isterinya, Sara sebaik sahaja Trump menyudahkan ucapan beliau.

Malah, Netanyahu sempat memuat naik status menerusi laman Twitter miliknya dengan menghamburkan pujian menggunung terhadap Trump apabila menyifatkan ucapan pemimpin itu sebagai yang paling berani dalam tempoh 30 tahun.

Dalam pada itu, seperti dijangka, Korea Utara tidak menunggu lama untuk membidas kenya­taan Trump apabila menyifatkan pemimpin itu seperti seekor ‘anjing yang menyalak’ manakala pemim­pin Iran, Hassan Rouhani pula mendakwa tuduhan Trump sebagai tidak berasas.

Pemimpin berusia 71 tahun itu juga menerima ‘tamparan’ daripada Menteri Luar Venezuela, Delcy Rodriguez yang menganggap Trump tidak boleh menjadi Presi­den kepada seluruh masyarakat dunia kerana masih gagal me­nguruskan pentadbiran negaranya sendiri.

Apapun telahan atau anggapan terhadapnya, Trump tetap diakui sebagai seorang pemimpin yang berani walaupun tindakan semberononya adakala memakan diri sendiri.

Di sebalik menjadikan medan perhimpunan agung itu sebagai medan untuk menghentam dan melemparkan kritikan terhadap pihak lain, ramai pihak berpendapat bahawa Trump sepatutnya memanfaatkan sepenuhnya pentas berkenaan untuk menggalakkan perdamaian serta kerjasama sejagat.