Scaramucci dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar kepada majalah New Yorker pada Khamis lalu mengenai pembiaya di New York selain menyelar bekas Ketua Staf Reince Priebus, dan ketua strategi Trump, Steve Bannon yang telah menimbulkan kemarahan Presiden AS itu.

Keputusan itu dibuat pada hari pertama Ketua Staf baharu, John Kelly memulakan tugasnya dan beliau sebelum ini dikatakan bertekad melaksanakan arahan ke atas kakitangan White House yang berpuak-puak dan suka memfitnah.

“Presiden berpendapat ke­­n­yataan Scaramucci kepada wartawan sangat tidak sesuai bagi seseorang yang memegang jawatan tersebut dan telah memanggil penasihatnya untuk berbincang mengenai kedudukan beliau.

“Kelly yang turut mempu­nyai pendapat sama memanggil Scaramucci ke pejabatnya pagi semalam dan terus memecatnya. Ini adalah salah satu tindakan pertama Kelly sebagai Ketua Staf,” jelas seorang ahli Republikan yang rapat dengan Trump.

Menurut jurucakap Trump, Sarah Sanders, Kelly telah diberi kuasa yang luas untuk mengenakan perintah ke atas semua kakitangan White House termasuk anak pe­rempuan Trump, Ivanka dan menantunya Jared Kushner.

Tindakan terbabit dilihat sebagai perkembangan terkini membabitkan kakitangan pentadbiran Trump yang baharu berusia enam bulan dan minggu paling bermasalah kepada pentadbiran Presiden AS itu setelah usahanya untuk merombak sistem penja­gaan ke­sihatan Amerika Syarikat (AS) menemui kegagalan di Kongres.

Dalam perkembangan lain, Naib Presiden AS, Mike Pence berkata permintaan Moscow untuk menghentikan khidmat 755 kakitangan diplomatik AS di Rusia tidak akan menjejaskan komitmen negara itu dengan sekutunya.

“Tindakan diplomatik yang dilakukan oleh Moscow tidak akan menghalang komitmen AS untuk keamanan kita, keselamatan sekutu kita dan keamanan negara-negara yang mencintai kebebasan di seluruh dunia.

“Kerajaan AS berharap hubu­ngan yang lebih baik dengan Rusia, tetapi kami tetap berdiri teguh dengan artikel 5 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengenai pertahanan kolektif,” kata Pence di Estonia selepas bertemu dengan pe­mimpin tiga negeri Baltik itu. – REUTERS