Beliau turut menegaskan kepada NBC News semalam iaitu tindakan pe­me­catan itu merupakan keputusannya sendiri.

Comey mengetuai siasatan berhubung pemba­bi­tan Rusia dalam pilihan raya Presiden AS dan kemungkinan terlibat da­lam pakatan sulit antara pegawai-pegawai kempen Trump dan Moscow.

Dalam temu bual pertama selepas pemecatan itu, Trump memberitahu telah bertanya Comey sama ada beliau sedang disiasat.

“Saya bertanya sama ada dia (Comey) boleh memaklumkan saya jika saya sedang disiasat namun dia memberitahu saya tidak di­siasat. Dia suka menun­juk-nunjuk. FBI dalam kea­­daan huru-hara. Saya memang akan memecat dia tanpa cadangan daripada sesiapapun. Ini keputusan saya. Tiada pakatan sulit antara saya dan kumpulan kempen dengan Rusia,” katanya.

Portal CNN pula melapor­kan kenyataan Trump ke­­­pada NBC News itu ber­­hubung alasannya me­mecat Comey adalah bertentangan 10 kali de­ngan alasan penasihat dan pembantu tertinggi termasuk Naib Presiden AS, Mike Pence tentang perkara yang sama.

Trump berkata, beliau akan memecat Comey de­ngan atau tanpa memorandum daripada Timbalan Peguam Negara, Rod Rosenstein yang mengkritik bekas Pengarah FBI itu.

Namun sehari sebelum­nya, Pence memberitahu wartawan di Capitol Hill bahawa Trump telah mem­buat keputusan betul dan tepat pada masanya untuk menerima cada­ngan Peguam Negara dan Timbalan Peguam Negara untuk memecat Comey.

Sementara itu, menerusi Twitter miliknya baru-baru ini, Trump menyifatkan tuduhan pakatan sulit itu sebagai penipuan.

Walau bagaimanapun semalam beliau menafikan mahu siasatan itu digugurkan.