Trump yang merupakan wakil Parti Republikan, pada bulan Disember lalu, membuat kenya­taan paling kontroversi mengenai Islam apabila beliau mahu mengharamkan kemasukan orang Islam ke AS selepas insiden tembakan di California.

“Penduduk AS baru sahaja merosakkan dunia sekali lagi,” kata seorang rakyat Bangladesh yang mempunyai beberapa rakan rapat di AS, Syed Tashfin Chowdhury.

“Saya begitu kecewa melihat Trump menang kerana calon Demokrat, Hillary Clinton adalah seorang wanita yang baik, beliau terbaik untuk Pakistan dan Islam seluruh dunia. Beliau bercakap mengenai keamanan dunia tetapi Trump mahu menentang orang Islam,” kata seorang penduduk Palestin, Ishaq Khan.

Dalam pada itu, di Indonesia, yang mempunyai majoriti penduduk Islam paling ramai di dunia, rata-ratanya menyatakan kebimbangan terhadap hubungan negara itu dengan AS dan kemenangan Trump boleh menjejaskan hubungan antara AS dan dunia Islam.

Seorang aktivis Indonesia, Alijah Diete berkata, dia berasa takut akan berlakunya peperangan dan AS bakal menyerang negara Islam lagi, ekoran kenyataan Trump sebelum ini yang bersifat anti-Islam.

“Saya amat bimbang hubungan antara negara-negara Islam dan AS akan menjadi tegang semula,” kata Alijah.

Selain itu, seorang kakitangan yang bekerja untuk sebuah firma undang-undang, Nikken Suardini, bimbang tetang perancangan pengharaman Trump itu.

“Bagi saya tidak adil untuk beliau mengharamkan kemasukan orang Islam masuk ke AS,” katanya.

Terdapat juga kebimbangan bahawa dasar anti-Islam di bawah pemerintahan Trump akan mencetuskan lagi kegiatan ekstremisme Islam di peringkat global.

“Apabila Amerika Syarikat menggunakan kekerasan, kumpulan pelampau akan bertambah. Mereka yang paling gembira dalam kemenangan Trump adalah kumpulan pengganas Daesh,” kata seorang ulama dari organisasi Nahdlatul Ulama, Zuhairi Misrawi.

Dalam perkembangan sama, beberapa pemerhati berharap agar kenyataan Trump itu hanya dilontarkan untuk beliau me­raih undi daripada rakyat AS dan tidak terjemahkan dasar itu ketika pemerintahannya.

“Kami berharap kenyataan Trump itu hanya untuk meningkatkan kempennya dan beliau sedar bahawa orang Islam adalah populasi terbesar di AS,” kata ulama kanan kerajaan Pakistan, Tahir Ashrafi. – AFP