Beliau berkata, AS mempu­nyai banyak pilihan ketenteraan dan beliau akan putuskan tindakan sesuai dalam tempoh terdekat.

Katanya lagi, AS sudah mempunyai maklumat mengenai dalang sebenar insiden serangan di Douma yang mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang manakala 1,000 lagi cedera.

Trump juga sudah mengadakan perbincangan dengan Pre­siden Perancis, Emmanuel Macron semalam dan kedua-dua pemimpin itu melahirkan hasrat untuk bertindak tegas.

“Kita tidak boleh membiarkan kekejaman seperti itu berlaku lagi di dunia ini, ter­utamanya apabila kita sebagai AS dan dengan kuasa yang ada, kita mampu menghalangnya,” jelas Trump.

Perdana Menteri Britain, Theresa May turut mengutuk serangan di Douma dan menggesa pihak yang menyokong Presiden Syria, Bashar al-Assad agar bertanggungjawab.

Kritikan daripada para pe­mimpin Barat itu disusuli de­ngan mesyuarat tergempar Maj­lis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), di mana AS dan Rusia saling bertelagah.

Wakil Rusia, Vassily Nebenzia berkata, serangan itu telah dirancang dan memberi amaran tindakan balas AS boleh membawa kesan yang serius.

Sementara itu, Duta AS ke PBB, Nikki Haley mengatakan Rusia yang menjadi sekutu rapat tentera Syria, merancang serangan itu dan mengelar Bashar sebagai monster atau ‘tidak berhati perut’

Haley menggesa agar UNSC menjalankan undi berkaitan draf resolusi yang menuntut agar satu siasatan ditubuhkan bagi menyiasat penggunaan senjata kimia di Syria.

Bagaimanapun, Rusia me­ngatakan mereka tidak akan menyokong draf tersebut ke­rana ia mengandungi perkara yang tidak boleh diterima pakai.

Dalam perkembangan sama, Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika mengadakan perbualan telefon dengan Canselor Jerman, Angela Merkel menegaskan adalah sesuatu yang tidak boleh di­terima sekiranya isu ini digunakan sebagai satu peluang untuk membuat ‘provokasi atau spekulasi’.

“Kedua-dua pemimpin mem­bincangkan situasi di Syria, termasuklah dakwaan penggunaan senjata kimia oleh beberapa negara Barat terhadap kerajaan Syria,” demikian me­nurut ke­nyataan Kremlin.

Dalam perkembangan berlainan, sekurang-kurangnya 13 penduduk Syria terbunuh dan 80 lain cedera dalam satu letupan kuat di bandar Idlib semalam. Dalang insiden ber­kenaan, belum lagi diketahui.

Menurut Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia ke Syria, angka kematian dijangka mening­kat susulan beberapa orang yang cedera berada dalam keadaan parah dan ramai lagi penduduk terperangkap dalam runtuhan bangunan. – AFP/BERNAMA/AGENSI