Terdahulu, parti Demokrat mahu mencabar tindakan Trump yang disifatkan sebagai melanggar atau melangkaui bidang kuasa Presiden di mahkamah.

STRATEGI TRUMP

Lapor Straits Times, darurat berkenaan adalah langkah pertama untuk mendapatkan dana berjumlah AS$3.6 bilion (RM14.7 bilion) yang diperuntukkan semula daripada projek pembinaan ketenteraan.

Menurut kenya­taan dikeluarkan oleh White House, Trump juga memperoleh sebanyak AS$1.375 bilion (RM5.62 bilion) melibatkan pembinaan pagar sempadan sepanjang 90 kilometer yang diluluskan oleh Dewan Perwakilan dan Senat, kelmarin.

Selain itu, Trump akan mengambil tindakan berbentuk eksekutif yang lebih tradisional untuk menarik AS$600 juta (RM2.5 juta) daripada dana rampasan harta Jabatan Perbendaharaan dan AS$2.5 bilion (RM10.2 bilion) daripada program menangani dadah, sekali gus menjadikan jumlah kese­luruhan dana pembinaan tembok ialah sebanyak AS$8 bilion (RM32.7 bilion).

Dalam pada itu, Trump menyifatkan tindakannya sebagai isu keselamatan nasional yang perlu dilakukan bagi melindungi sempadan AS-Mexico daripada aktiviti penyeludupan dadah dan penjenayah.

Trump turut mengakui beliau mungkin kalah di mahkamah rendah tetapi berharap dasar beliau akan diterima di Mahkamah Agung, satu proses yang dilalui oleh pentadbirannya tahun lalu berkaitan larangan perjalanan disasarkan terhadap beberapa negara Islam.

“Mungkin cara paling senang untuk menang ialah mengisytiharkan darurat nasional kerana kita mengisytiharkan untuk menghalang kegiatan dadah, penyeludupan dan samseng,” ujar Trump.

DEMOKRAT BIDAS TRUMP

Dalam perkembangan berkaitan, Speaker Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi dan pemimpin minoriti Senat, Chuck Schumer dalam satu kenya­taan bersama berkata, tindakan Trump melanggar kuasa eksklusif Kongres memperuntukkan dana Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Kongres akan mempertahankan kuasa Perlembagaan kami di Kongres dan mahkamah dengan menggunakan cara yang ada,” kata kenya­taan itu.

APA ITU DARURAT NASIONAL? APA AKAN BERLAKU SELEPAS DIISYTIHARKAN?

Undang-undang Persekutuan AS memberi beberapa kuasa kepada Presiden untuk digunakan ketika ‘krisis atau keadaan kecemasan yang mengancam negara’.

Mengisytiharkan darurat nasional membolehkan Presiden mencari jalan penyelesaian le­bih efektif sewaktu krisis.

Presiden dibenarkan untuk ‘merampas harta benda, menyusun dan mengawal pembuatan, merampas komoditi, mengarahkan tentera bertugas di luar negara, melaksanakan undang-undang tentera, merampas serta mengawal semua pengangkutan serta komunikasi dan sebagainya.

Namun mengisytiharkan darurat nasional adalah tindakan yang jarang dilakukan. Dalam kes ini, ia membolehkan Trump menarik dana Persekutuan daripada ‘tempat lain’ untuk membiayai pembinaan tembok sempadan.

Menurut pensyarah undang-undang politik di Sekolah Undang-undang Loyola, Jessica Levinson, walaupun Trump mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat pada bila-bila masa, ia akan menjadi proses yang rumit.

“Beliau perlu menyatakan ini merupakan darurat dan ini apa yang saya perlukan.

“Tetapi persoalannya ialah sekiranya beliau menunggu terlalu lama untuk mengambil tindakan seperti ini dan negara perlu melalui krisis shutdown, mengapa sekarang ini adalah darurat? Di manakah keadaan kecemasannya?” ujar Levinson.

APA KATA RAKYAT AMERIKA

Majoriti rakyat Amerika terus menentang tindakan Trump untuk memperluaskan tembok sempadan.

Daripada 1,505 orang yang menjalani kaji selidik dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Pew, 58 peratus daripadanya menentang manakala 40 peratus lagi menyokong.

Sokongan orang ramai terhadap Republikan mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 82 peratus, manakala sokongan Demokratik menurun sehingga 6 peratus. – AGENSI