Tidak cukup dengan itu, Trump yang bermulut celupar sebelum itu menghina negara-negara Afrika dan Haiti berhubung isu pendatang dari negara-negara tersebut dengan gelaran ‘shithole countries’ yang mengundang kecaman bukan sahaja daripada anggota parti Demokrat malah daripada parti Republikan sendiri.

“Sebab saya membatalkan lawatan London kerana saya bukan seorang peminat pentadbiran Obama yang menjual kedutaan AS (di lokasi terbaik) di London terlalu murah dan membina pula bangunan baharu di lokasi lain dengan harga AS$1.2 bi­lion (RM4.7 bilion),” tulis Trump dalam tweet beliau.

Bagaimanapun, laman sesawang kedutaan menunjukkan keputusan untuk memindahkan lokasi bangunan itu dibuat beberapa bulan sebelum Obama menjadi Presiden pada bulan Januari 2009.

Konsulat dan Kedutaan AS di United Kingdom pada tahun 2008 men­jelaskan, pejabat kedutaan dipindahkan semula atas sebab ke­selamatan.

“Perjanjian yang te­ruk. Mahu saya potong reben - TIDAK!,” kata Trump.

Dalam perkembangan ber­kait­an, Trump mempersoalkan kewajaran Amerika untuk me­ngambil pendatang dari Haiti dan negara Afrika.

Kata dua sumber yang tahu akan perkara itu, Trump membuat kenyataan berkenaan di White House ketika Senator Demokrat, Dick Durbin dan Senator Republikan, Lindsey Graham membentangkan taklimat kepada Presiden tentang draf baharu rang undang-undang imigresen yang baru digubal.

Kata sumber itu, beberapa pegawai kerajaan lain turut hadir semasa perbualan terbabit berlaku.

Seorang sumber memetik Trump sebagai berkata: “Menga­pa kami mahu mengambil kese­mua orang dari Afrika ke sini? Mereka adalah negara yang menjijikkan (shithole), kita sepatutnya ada ramai orang dari Norway.”

Menurut sumber kedua, Trump yang berikrar untuk me­ngetatkan penguatkuasaan ke atas pendatang asing juga mempersoalkan akan keperluan rak­yat dari Haiti di Amerika.

Ekoran pendedahan itu, kebanyakan anggota penggubal undang-undang dari parti Demokrat dan Republikan membidas Trump kerana mengeluarkan kata-kata tersebut.

Sementara itu, Pertubuhan Ba­­ngsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam kenyataan Trump itu sambil menyifatkan sebagai ‘mengejutkan’, ‘memalukan”, dan ‘perkauman’.

“Jika disahkan, ini adalah komen yang mengejutkan dan memalukan dari Presiden AS,” kata Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB Rupert Colville kepada pemberita di Geneva. – AFP/REUTERS