Merkel menegaskan masa depan rakyat Eropah terletak dalam tangan mereka sendiri manakala Hollande pula berkata, Eropah tidak memerlukan khid­mat nasihat pihak luar untuk memberitahu perkara yang perlu mereka lakukan.

Semalam Trump mengeluarkan kenyataan bahawa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai ketinggalan zaman dan polisi Merkel terhadap isu pelarian adalah suatu ‘mala petaka’.

“Kami (Eropah) tahu apa kedudukan beliau (Trump) dan kedudukan saya juga adalah jelas,’’ kata Merkel.

Menurut beliau, ke­semua 27 buah negara anggota NATO perlu bersatu selain menegaskan kekuatan ekonomi dan institusi Eropah dapat membantu menangani masalah besar seperti keganasan.

Sementara itu, salah seorang penasihat Trump dalam kenya­taan terbaharu kepada BBC berkata, kritikan ke atas Merkel itu te­lah disalah tafsir.

Sebelum itu, Setiausaha Negara AS, John Kerry memberitahu CNN bahawa ke­nyataan bakal pre­siden AS itu adalah tidak wajar.

Beliau menyifatkan keputusan Merkel pada bulan September 2015 untuk membenarkan seramai 900,000 pela­rian yang terkandas di Hungary untuk memasuki Jerman adalah tindakan yang ‘sangat berani’.

“Saya fikir adalah tidak wajar sebagai bakal presiden AS untuk campur tangan dalam politik negara lain,’’ kata­nya.

Walaupun Merkel telah menghantar salah seorang penasihat utamanya ke AS bagi mengadakan runding menjelang pentadbiran baharu AS tetapi Jerman tiada rancangan untuk mengadakan pertemuan antara Canselor itu dengan Trump.

Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier pula berkata, beliau telah berunding dengan Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg semalam dan melahirkan kebimbangan terhadap kenyataan Trump itu.

Menteri Luar Sepanyol, Alfonso Dastis pula berharap bilionair itu ‘mengubah pendapat’ berhubung kritikannya itu apabila beliau (Trump) tahu cara kedua-dua kesatuan itu berfungsi.

Pada masa yang sama, bekas Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls menyifatkan kenya­taan Trump itu membawa kepada ‘pengisytiharan perang terhadap Eropah’. – Agensi