MANGKUK tandas emas rekaan artis Itali, Maurizio Cattelan dipamerkan untuk kegunaan awam di Muzium Guggenheim di New York, Amerika Sayrikat sejak tahun 2016. AFP

Menurut akhbar The Washington Post, Ketua kurator muzium berkenaan, Nancy Spector menawarkan Trump mangkuk tandas berkenaan dalam e-mel bertarikh 15 September tahun lalu kepada pegawai pentadbiran White House.

Tawaran itu dibuat sebagai tindak balas kepada permintaan White House untuk meminjam lukisan abad ke-19, Landscape with Snow karya Van Gogh untuk diletakkan di kediaman rasmi Presiden dan wanita pertama yang didiami Trump.

“Saya dukacita memaklumkan bahawa kami tidak dapat meminjamkan lukisan itu kerana ia adalah sebahagian daripada koleksi ‘Thannhauser’ muzium yang dilarang untuk dibawa keluar ke­cuali untuk acara khas sahaja.

“Kami memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan asal anda, bagaimanapun masih berharap agar tawaran istimewa ini menarik minat anda,” katanya.

Mangkuk tandas yang masih berfungsi dengan baik itu direka oleh artis Itali, Maurizio Cattelan dengan salutan emas tulen 18 karat dan diberi nama ‘Amerika’.

Menurut blog Gugenheim, tandas berkenaan dipamerkan pada tahun 2016 di bilik mandi tunggal di muzium itu dan telah digunakan oleh lebih 100,000 pengunjung.

Bagaimanapun, tempoh pa­me­­ran yang tamat memboleh­kan perekanya menawarkan ha­sil kerja tangannya itu kepada White House untuk tempoh yang lama.

“Tandas yang melambangkan kemewahan ini sudah tentu tinggi nilainya dan ia perlu dijaga rapi, bagaimanapun kami akan mela­kukan pemasangan dan memaklumkan kaedah penjagaannya,” lapor The Washington Post memetik e-mel Spector.

Jurucakap Muzium Guggen­heim enggan mengulas berhu­bung laporan The Washington Post itu dan tidak dapat dipastikan sama ada White House menerima tawaran kurator itu.

Trump diketahui amat me­ng­gemari objek bertatah emas dan pada malam sambutan Krismas tahun lalu, beliau dirakam mene­rima panggilan daripada anaknya sambil duduk di atas kerusi emas di sebuah bilik di rumah percutiannya di Florida.