Menurut The Washington Post, Trump dilaporkan menelefon Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saudi pada Disember lalu dan menurut para pegawai AS, Trump percaya beliau telah mencapai persetujuan yang diinginkan.

Pentadbiran Rumah Putih mahu mendapatkan dana dari Arab Saudi dan negara-negara lain bagi membantu mereka membangunkan semula kawasan-kawasan di Syria yang dibebaskan daripada penguasaan kumpulan pengganas Daesh.

Selain itu, AS mahu menyekat Presiden Syria, Bashar al-Assad dan sekutu Rusia serta Iran daripada menakluki kawasan terbabit atau Daesh bersatu kembali, ketika tentera negara ini selesai memerangi pengganas.

Arab Saudi sebelum ini merupakan sebahagian daripada pakatan anti-Daesh tetapi telah menarik diri daripada peperangan di Syria sejak beberapa tahun lalu.

Dana sebanyak RM15.6 bilion disumbangkan oleh Arab Saudi akan membantu mencapai matlamat AS, terutamanya dalam mengehadkan kuasa Bashar dan mengurangkan pengaruh Iran di Syria.

Bulan lalu, AS mengumumkan sumbangan sebanyak AS$200 juta (RM781.8 juta) bagi tujuan menstabilkan Syria.

Menurut seorang pegawai AS yang enggan dikenali berkata, sebahagian daripada dana diterima daripada sekutu seperti Arab Saudi akan digunakan bagi memastikan tahanan berpindah ke penjara yang mempunyai sel individu.

Selain itu, Trump juga mahu AS segera keluar daripada peperangan di Syria, di mana beliau mendakwa kemenangan ke atas Daesh hampir dicapai.

“Kami berjaya memerangi mereka. Kami tidak akan gembira sehinggalah Daesh ditumbangkan sepenuhnya.

“Daesh tidak menyangka perkara seperti ini akan berlaku. Mereka tidak pernah mengalami keadaan seumpama ini,” ujar Trump ketika berucap kepada tentera AS di California baru-baru ini.