Pegawai kedua-dua kerajaan yang mengetahui perkara itu berkata, maklumat risikan me­ngenai pelan operasi ketenteraan ke atas militan Daesh tersebut dikongsi Trump semasa satu pertemuan dengan Lavrov dan Duta Rusia ke AS, Sergei Kislyak yang diberikan oleh sekutu AS dalam perang ke atas kumpulan terbabit.

Bagaimanapun White House mengumumkan dakwaan itu yang pertama kali dilaporkan oleh Washington Post adalah tidak benar termasuk penafian daripada Kementerian Luar Rusia.

“Berita yang mula tersebar sejak malam tadi adalah tidak benar,” kata Penasihat Keselamatan Negara Trump, H.R McMaster di White House.

Jelasnya, apa yang berlaku adalah pemimpin terbabit mengkaji semula pelbagai ancaman biasa termasuk melibatkan penerba­ngan awam.

“Tiada sumber risikan atau kaedah yang dibincangkan dan Presiden tidak mendedahkan sebarang operasi ketenteraan yang belum diketahui umum. Malah saya sendiri berada dalam bilik itu dan dakwaan tersebut tidak berlaku,” tegas McMaster.

White House pada masa sama mengeluarkan kenyataan daripada Setiausaha Negara AS, Rex Til­lerson yang menegaskan mesyu­arat di Pejabat Oval memberi tumpuan kepada perkara meme­rangi keganasan ketika Timbalan Penasihat Ke­sela­matan Negara, Di­na Powel menyifatkan laporan Washington Post itu adalah palsu.

Bagaimanapun, laporan berita itu menimbulkan kebimbangan Dewan Kongres dengan orang nombor dua Parti Demokrat di Dewan Senat, Dick Durbin menyifatkan kelakuan Trump adalah berbahaya dan melulu.

Malah, Ketua Jawatankuasa Perhubungan Luar Negara Senat Parti Republikan, Bob Corker menyifatkan dakwaan itu amat berbahaya.

Kontroversi baharu itu muncul ketika pentadbiran Trump masih dipalit isu pemecatan bekas Pe­ngarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey di tengah-tengah gesaan supaya siasatan bebas terhadap dakwaan campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden diadakan. REUTERS