Dalam beberapa siri tweet, Trump mencemuh usaha Khan untuk meyakinkan orang ramai selepas tiga orang penyerang yang menaiki sebuah van merempuh pejalan kaki di London Bridge sebelum menye­rang orang ramai dengan pisau.

“Sekurang-kurangnya tujuh orang mati manakala 48 orang cedera dalam serangan keganasan itu dan Datuk Bandar London berkata tidak ada sebab untuk berasa bimbang!” tulis Trump.

Sadiq dalam temu bual bersama BBC sejurus kejadian itu meminta penduduk London dan pelawat supaya kekal tenang dan berhati-hati.

“Anda akan melihat pertambahan jumlah polis hari ini termasuk pasukan keselamatan bersenja­ta dan beruniform dan tidak ada sebab untuk bimbang,” katanya.

Bagaimanapun beberapa tokoh terkemuka di Amerika dan United Kingdom (UK) bersatu untuk menolak kenyataan Trump, langkah yang menyaksikan pemangku duta Washington ke London memihak kepada Sadiq.

“Saya memuji kepimpinan @MayorofLondon ketika beliau me­mimpin penduduk bandar berdepan dengan serangan kejam ini,” kata Lew Lukens menerusi akaun Twitter kedutaan AS di Britain.

Lukens turut memuji tindak balas luar biasa daripada penduduk London dan perkhidmatan kecemasan bandar terbabit.

Dalam pada itu, jurucakap Sadiq ketika diminta mengulas kritikan Trump menegaskan datuk bandar itu mempunyai banyak urusan le­bih penting daripada memberi jawapan kepada tweet Trump.

Malah, seorang ahli Parlimen daripada Parti Buruh, David Lammy dalam tweet beliau membidas komen Presiden AS itu yang dianggap jahat dan tidak patut dijadikan pemimpin negara.

“Perkara yang menyebabkan saya mahu berhenti daripada dunia politik pada hari seperti ini, kejahatan ada di mana-mana,” tulis Lammy.

Di Amerika Syarikat, bekas naib Presiden Amerika, Al Gore berkata, beliau tidak fikir serangan utama pengganas seperti ini adalah masa yang sesuai untuk mengkritik seorang datuk bandar yang cuba menyusun tindak balas susulan sera­ngan itu. – AFP