Ketika pertemuan dengan para pemimpin berkenaan di Rumah Putih kelmarin, Trump berkata, segala agenda konservatif beliau akan berdepan risiko sekiranya partinya kalah pada November ini.

Pilihan raya penggal perte­ngahan secara umumnya dilihat sebagai ujian kepada populariti Presiden AS.

Kenyataan Trump yang kini berdepan dengan publisiti negatif selepas bekas peguam dan juga ketua kempen pilihan rayanya didakwa pada awal bulan ini, diperoleh menerusi rakaman suara yang dilaporkan oleh The New York Times.

“Demokrat akan membatalkan semua yang kita telah lakukan dan mereka akan melakukannya dengan cepat dan ganas.

“Mereka akan menamatkan semuanya dengan serta-merta. Sekiranya anda melihat kepada kumpulan militan berhaluan kiri anti-fasis dan beberapa kumpulan lain, mereka ini adalah pengganas,” ujar Trump lagi dalam rakaman terbabit.

Tambah agensi berita terbabit, jurucakap Rumah Putih, Hogan Gidley bagaimanapun enggan memberi sebarang komen berhubung kenyataan Trump itu.

Ini bukan pertama kali Trump memberikan amaran bahawa berlakunya keganasan sekiranya tidak terjadi apa yang beliau inginkan.

Menurut laporan agensi itu lagi, wartawan dibenarkan mendengar ucapan ringkas daripada Trump semasa pertemuan berkenaan berhubung isu keguguran kandungan, kebebasan beragama serta pengangguran dalam kalangan belia.

Namun selepas wartawan keluar dari bilik tersebut, Trump serta-merta menukar topik perbincangan dan mencadangkan bagaimana pemimpin agama dapat membantu Republikan memenangi pilihan raya pada November.

“Saya hanya meminta anda keluar dan memastikan kamu semua mengundi.

“Kerana jika mereka tidak mengundi pada 6 November ini, kita akan menjalani tempoh sukar selama dua tahun,” jelas Trump. – AFP