Larangan itu sekali gus mencetuskan persoalan berhubung nasib ribuan golongan transgender yang masih berkhidmat sebagai anggota tentera.

Terdahulu, Trump sebelum ini berikrar untuk berjuang mem­bela nasib golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender,

Pengumuman Trump itu sekali gus melangkaui keputusan yang dibuat oleh bekas Presiden, Barack Obama yang membenarkan golo­ngan tersebut menyertai tentera AS.

Ujar Trump, langkah tersebut dilaksanakan berikutan beliau tidak mahu tentera AS dibebani dengan kos perubatan dan gangguan golongan transgender yang berkhidmat sebagai askar.

“Selepas mengadakan rundingan dengan para jeneral serta pakar tentera, kerajaan AS

sebulat suara untuk tidak akan menerima golongan transgender dalam tentera. Tentera kita seharusnya perlu lebih fokus untuk mencapai kejayaan,” ujar Trump menerusi kenyataan dikeluarkan di laman Twitter rasminya.

Awal bulan ini, Setiausaha Pertahanan AS, James Mattis mengumumkan penangguhan selama enam bulan untuk melantik golongan transgender sebagai rekrut baharu.

Sementara itu, jurucakap Trump, Sarah Sanders berkata, pentadbiran Rumah Putih akan bekerjasama dengan Pentagon untuk memutuskan bagaimana mereka mahu meneruskan pelaksanaan tersebut.

Dalam perkembangan berlainan, Senat AS gagal meluluskan cadangan parti Republikan untuk memansuhkan dasar penja­gaan kesihatan, Obamacare tanpa menggantikannya.

Keputusan undian yang berbalas 45-55 itu menandakan kekalahan kedua buat Republikan yang bertujuan meluluskan rang undang-undang tersebut minggu ini bagi memansuhkan Obamacare.

Undian berkenaan dilakukan sehari selepas Senat menolak cadangan untuk memansuhkan dan menggantikan Obamacare dengan dasar kesihatan baharu daripada Republikan. – Agensi