Beliau berkata, bagi penghuni yang kehilangan rumah dalam insiden itu, kerajaan akan memberi sumbangan 5,500 pound (RM26,284) daripada dana sejumlah 5 juta pound (RM23.89 juta) yang diperuntukkan.

BBC pula mendakwa sekurang-kurangnya 70 orang mati, sembilan dalam unit rawatan rapi (ICU) dan 18 lagi masih menerima ra­wa­tan di hospital.

Komander Stuart Cundy menjangkakan angka kematian akan meningkat memandangkan mungkin ada penghuni yang terpe­rangkap dan mati, bagaimanapun tidak dilaporkan kepada pihak penguat kuasa.

Beliau berkata, operasi mencari mangsa terpaksa mengambil masa yang lama kerana bangunan itu mengalami kerosakan teruk dan keadaannya sukar dijelaskan.

Majlis Perbandaran Kensington dan Chelsea dihujani kecaman mengenai pengurusan bencana itu. Penghuni juga mendakwa mereka tidak diberi maklumat dan bantuan yang sepatutnya.

Pada masa yan sama, sekumpulan penghuni telah berjumpa dengan Perdana Menteri Bri­tain, Theresa May, menyatakan ketidakpuasan terhadap pihak pengurusan yang dikatakan ‘hilang’ selepas kejadian itu.

Ketua Eksekutif Majlis Southwark, Eleanor Kelly berkata, buat masa ini, perkara yang menjadi keutamaan adalah penempatan semula penghuni.

“Kita sudah mengarahkan Per­satuan Palang Merah untuk berhubung dengan keluarga dan waris mangsa yang tiba di lapa­ngan terbang,” ujarnya.