Keadaan itu berlaku kerana titik panas baharu kembali muncul di Bengkalis.

Ketua Bomba Bengkalis, Suiswantoro berkata, titik panas baharu muncul semula di Sungai Linau berikutan tanah gambut yang sebelum ini berjaya dipa­damkan kembali terbakar.

Bagaimanapun, katanya, sebanyak 85 peratus kebakaran tanah berjaya dikawal dan semua petugas berada da­lam keadaan siap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, Ketua Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Stesen Pekan Baru, Sugarin berkata, satelit masih memantau tujuh titik panas di Riau iaitu masing-masing dua di Pelawan dan Siak manakala satu di Meranti, Indragiri Hilir, dan Kampar.

Sementara itu, kebakaran hutan dan tanah di Riau sehingga kini telah memusnahkan seba­nyak 706 hektar tanah gambut berikutan musim panas yang melanda wilayah itu sejak sebulan lalu.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Riau, Edwar Sanger berkata, kebanyakan kawasan terlibat kebakaran adalah di kawasan pesisir pantai di enam daerah.

Katanya, enam kawasan itu adalah Meranti, Dumai, Bengkalis, Rokan Hilir dan Pelalawan.

“Daerah Meranti mengalami kebakaran paling besar melibatkan kawasan seluas 310 hektar diikuti Bengkalis, 204 hektar dan selebihnya di empat daerah lain.

“Dianggarkan lebih 700 hektar tanah telah terbakar setakat ini,’’ kata Edwar sebagaimana lapor portal Tempo.co, hari ini.

Edwar dalam pada itu berkata, proses pemadaman kebakaran melibatkan lebih 2,000 anggota gabungan tentera, polis, unit kebakaran hutan dan anggota masyarakat melibatkan operasi dari darat dan udara.

Ujar beliau, setakat ini, keba­nyakan titik panas termasuk yang terakhir di Indragiri Hilir sudah berjaya dipadamkan.