Universiti Al-Azhar dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, karikatur berkenaan tidak membina keamanan antara masyarakat dunia dan menghalang integrasi antara penganut Islam dan masyarakat Eropah serta Barat.

Jelas kenyataan itu, Islam mengutuk sebarang bentuk keganasan seperti yang berlaku ke atas ibu pejabat akhbar tersebut sehingga mengorbankan 12 nyawa, tetapi tindakan menerbitkan kartun yang boleh mengguris hati umat Islam tidak boleh dibiarkan.

“Tindakan tersebut merupakan provokasi terhadap perasaan 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.

“Akhbar berkenaan hanya membangkitkan api kebencian terbaharu di Perancis dan Barat, selain tidak membantu umat Islam untuk bergaul dengan masyarakat lain,” tambah kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Ketua Lembaga Pengarah Hal Ehwal Agama Turki, Mehmet Gormez mengutuk pemimpin Barat yang tidak memberi perhatian terhadap kematian ramai umat Islam di seluruh dunia, ketika kebanyakan pemimpin menyertai perhimpunan besar-besaran di Paris mengutuk serangan pengganas ke atas pejabat Charlie Hebdo.

Menurut Mehmet, sebanyak 12 juta penduduk Islam dibunuh dalam tempoh 10 tahun, menunjukkan masyarakat Islam mengalami penderitaan yang lebih teruk.

“Tetapi minggu lalu, 12 orang dibunuh dengan kejam, dan hampir empat juta orang termasuk sejumlah pemimpin dunia berkumpul untuk meluahkan bantahan terhadap keganasan.

“Kita dapat lihat nilai sebenar kemanusiaan yang tidak menyokong terhadap kematian 12 juta orang penduduk Islam, tetapi sanggup berganding sama untuk membela kematian hanya 12 orang mangsa,” katanya. – AFP