Al-Jazeera melaporkan, Raja Jordan, Raja Abdullah II menyatakan bahawa keputusan Presi­den AS, Donald Trump untuk membuat pengiktirafan tersebut hanya akan menjejaskan kestabilan dan keselamatan serantau.

Menurut kenyataan yang di­ke­luarkan oleh pihak istana, Raja Abdullah menegaskan bahawa Baitulmaqdis adalah kunci untuk mencapai keamanan dan kestabilan di Palestin serta seluruh dunia.

“Jika AS masih dengan keputusan untuk iktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, maka tindakan itu akan mengguris hati komuniti Islam dan Kristian.

“Raja Abdullah juga meng­hubungi Presiden Palestin, Mah­moud Abbas dan memberitahu beliau bahawa Jordan sedia membantu Palestin menghadapi sebarang situasi yang mungkin timbul akibat pengumuman pengiktirafan tersebut,” jelas ke­nyataan itu.

Sebelum ini, Mahmoud memberi amaran bahawa tindakan AS itu akan mencetuskan akibat bahaya kepada pelbagai pihak, terutamanya dalam usaha damai melibatkan Palestin dengan Israel, keselamatan dan kestabilan negara itu serta dunia.

Dalam pada itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi turut memberi amaran bahawa tindakan Trump akan mengurangkan peluang perdamaian di Asia Barat.

Menerusi satu kenyataan, Abdel Fattah menyatakan soko­ngan padu terhadap Palestin un­tuk melindungi Baitulmaqdis mengikut rujukan antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud dilaporkan menghubungi Trump dan memberitahu Presiden AS itu bahawa keputusannya bakal menjejaskan rundingan damai dan me­ningkatkan tekanan di Palestin.

Agensi berita SPA melaporkan, Arab Saudi menyokong rakyat Palestin serta hak mereka dan keputusan pengiktirafan ter­sebut hanya akan menimbulkan kemarahan penduduk Islam di seluruh dunia.

Semalam, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan juga mengancam untuk memutuskan hubu­ngan diplomatik dengan Israel.

“Baitulmaqdis merupakan ga­ris sempadan untuk orang Islam. Kami (Turki) sekali lagi memohon supaya AS tidak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel,” ujarnya.

Selain itu, Menteri Luar Jerman, Sigmar Gabriel turut melahirkan kebimbangan mengenai perkara itu dan menegaskan ba­­­hawa apa jua keputusan AS untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Isreal tidak akan meredakan konflik yang berlaku, malah memburukkan lagi keadaan tersebut.

Diplomat Kesatuan Eropah, Federica Mogherini pula menya­takan bahawa sebarang tindakan yang akan menjejaskan usaha damai untuk membentuk dua negara berasingan bagi Israel dan Palestin perlu dielakkan sama sekali.

Sementara itu, pandangan sa­ma turut dilontarkan oleh Se­tiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.