Arab News melaporkan, perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Pihak Berkuasa Am Arab Saudi bagi Hiburan (GEA), Turki al-Sheikh dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, pertandingan tersebut bertujuan untuk memberikan pengalaman mengenai Islam kepada dunia.

“Pertandingan itu mengetengahkan kepelbagaian kebudayaan dalam dunia Islam yang menampilkan pelbagai cara membaca al-Quran dan melaungkan azan.

“Penganjur berharap dapat meningkatkan kefahaman dan pembacaan al-Quran kepada belia Muslim,” jelasnya.

Tapisan permohonan akan dilakukan sehingga 22 Ogos dengan pemenang diumumkan Oktober ini.

Turki memberitahu, peserta daripada seluruh dunia dipelawa menyertai pertandingan tilawah al-Quran yang menawarkan hadiah 5 juta riyal (RM5.59 juta).

“Bagi pertandingan azan, selain pemenang menerima hadiah 2 juta riyal (RM2.24 juta) mereka berpeluang melaungkan azan di Masjid Nabawi,” jelasnya.