Menurut laporan Independent.co.uk, mikrocip berkenaan ‘ditanam’ pada bahagian antara ibu jari dengan jari telunjuk dan pegawai pemeriksa tiket hanya perlu mengimbas mikrocip ber­kenaan menggunakan telefon mudah alih bagi membaca tiket ber­kenaan.

SJ menjadi syarikat pelancongan pertama di dunia yang membolehkan orang ramai menggunakan kaedah inovatif bagai sebuah filem sains fiksyen.

Setakat ini, kira-kira 2,000 warga Sweden telah melakukan pembedahan kecil dimasukkan mikrocip itu dan kebanyakan mereka bekerja dalam sektor teknologi.

SJ menjangkakan, sekurang-kurangnya 200 orang akan tampil secara sukarela untuk mendaftar sebagai ahli dalam program yang bertujuan memastikan keberkesanan sistem tersebut.

Penumpang boleh membeli tiket menerusi laman sesawang atau aplikasi mudah alih dan nombor keahlian mereka akan menjadi kod rujukan bagi tiket dalam mikrocip berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat pihak menyatakan kebimbangan terhadap penggunaan teknologi ini kerana khuatir pergerakan mereka dipantau.

Namun begitu, jurucakap SJ berkata, orang ramai juga seharusnya juga patut prihatin terhadap penggunaan telefon pintar dan kad kredit yang juga mempunyai mikrocip yang membolehkan lokasi mereka dikesan.

Tambahnya, berikutan per­kembangan teknologi canggih, seseorang kini boleh dikesan melalui pelbagai cara, tidak semestinya melalui mikrocip yang diperkenalkan oleh syarikat itu.

SJ merupakan sebuah syarikat pengendali kereta api terbesar di utara Eropah dan salah sebuah daripada 10 buah syarikat digital di Sweden.