BBC melaporkan, ketiga-tiga anak pasangan Mona Kirk, 51, dan Daniel Panico, 73, ditemukan tinggal di persekitaran yang terdapat najis mereka merata-rata dan juga timbunan sampah.

Menurut Jabatan Syerif San Benardino, mangsa yang kini berumur 11, 13 dan 14 tahun mengalami kekurangan zat makanan dan tinggal di kotak itu selama empat tahun.

Pasangan itu diberkas kerana didakwa melakukan kekejaman ke atas kanak-kanak dan menunggu dijamin setelah dikenakan ikat jamin sebanyak AS$100,000 (RM391,644).

Polis menemui kanak-kanak itu semasa melakukan pemeriksaan di kawasan Joshua Tree sebelum menemukan sebuah treler kembara terbiar selain sebuah kotak diperbuat daripada papan lapis berukuran enam meter panjang dan 121 sentimenter (sm) tinggi dan 304 sm lebar di kawasan tersebut.

“Hartanah itu tidak mempunyai bekalan elektrik mahupun air dengan beberapa lubang besar serta sampah selain najis manusia ditemukan di sekitar kawasan tersebut,” kata polis.

Jurucakap Syerif San Benardino berkata, Kirk tinggal di dalam kotak itu bersama-sama anak mereka ketika Panico tinggal di dalam treler berkenaan.

Menurut Kapten Trevis Newport dalam akaun Twitter beliau, kanak-kanak itu tidak dikurung sebaliknya hidup dalam keadaan yang tidak selamat tanpa air, elektrik atau pemanas.

Pihak berkuasa juga menemukan kira-kira 30 hingga 40 ekor kucing di sekitar hartanah itu.