Kajian yang dilakukan pakar universiti-universiti terkemuka seperti Keele, Manchester, Leeds dan Anglia Timur mendapati mereka yang tidur lebih lapan jam pada setiap malam lebih cenderung mati lebih awal berbanding mereka yang tidur kurang daripada tujuh jam.

Kajian yang dilakukan ke atas 3.3 juta masyarakat di seluruh negara mendapati, jumlah tidur yang terlalu lama menimbulkan risiko kepada penyakit-penyakit kronik seperti jantung dan strok.

Berdasarkan penulisan yang dibuat dalam Jurnal Persatuan Jantung Amerika, tempoh tidur yang panjang itu juga dikaitkan dengan peningkatan serangan kardiovaskular.

Kajian yang sama juga mendedahkan masalah tekanan kerja, sosioekonomi, pengangguran dan aktiviti fizikal yang rendah ju­ga menyebabkan seseorang itu tidur lebih lama.

Pakar itu berkata, doktor harus memeriksa mereka yang tidur lama setiap malam sama ada mem­punyai masalah jantung atau pun sebaliknya.

Kajian itu menjelaskan, mereka yang tidur kira-kira sembilan jam berdepan dengan peningkatan 14 peratus risiko kematian manakala 10 jam (30 peratus) dan 11 jam adalah 47 peratus yang lebih cenderung mati awal.

Mereka yang tidur antara tujuh hingga lapan jam sehari mempunyai risiko mengalami ke­matian yang lebih rendah, kata pakar berkenaan.

“Orang yang mendapat tidur 10 jam atau lebih mempunyai 56 peratus peningkatan risiko mati akibat strok dan 49 peratus peningkatan risiko mati akibat penyakit kardiovaskular,” kata kajian itu yang dipetik dari www.dailymail.co.uk.

Penyelidik utama Dr. Chun Shing Kwok dari Universiti Keele berkata, kajian yang digabungkan hasil 74 kajian terdahulu ini mendapati tidur yang berlebihan adalah penanda risiko kardiovaskular yang tinggi.

Beliau memberitahu, tempoh tidur yang kualiti adalah sudah cukup memadai untuk seseorang untuk terus kekal sihat dan bebas daripada penyakit.