Menurut laporan Arab News, untuk itu beliau mengajak dunia untuk terus komited membantu menyelesaikan konflik tersebut dengan menyokong penyelesaian dua negara bagi mengelak pembentukan negara yang berkonsepkan dasar Aparteid.

Jelas beliau, penduduk Palestin masih menunggu komuniti antarabangsa membantu mereka menyelesaikan konflik yang berlaku.

“Malangnya, tiada pihak yang mengambil serius me­ngenai perkara tersebut. Saya tidak percaya seorang daripada anda akan menerima satu lagi rejim Aparteid dalam abad ke-21,” katanya ketika sesi Dialog Mediterranean yang dihadiri pemimpin-pemimpin Eropah serta Asia Barat di sini.

Riyad membuat gesaan tersebut selepas pegawai-pegawai perubatan Palestin melaporkan seramai 14 penduduk Palestin cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di kawasan sempadan Gaza-Israel semalam.

Kebanyakan penunjuk pe­ra­sa­an Palestin dilaporkan berada pada jarak selamat daripada pagar sempadan, selain tidak membakar tayar seperti kebiasaannya ketika serangan dilakukan.

Selain itu, Riyad menyelar pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dilihat menyebelahi Israel.

Tegasnya, jika AS tidak mahu lakukan apa-apa untuk membantu Palestin menyelesaikan konflik yang berlaku, maka Eropah perlu menggalas tanggungjawab tersebut.

“Adalah bukan tanggungja­wab kami untuk menyelesaikan kon­flik yang berlaku menerusi penyelesaian pembentukan dua negara, tapi ini adalah tanggungjawab anda (Eropah).

“Kita perlu memaksa perubahan itu berlaku dan sebab itu kami mendesak supaya Eropah memainkan peranannya,” katanya.

Sementara itu, Speaker Parlimen Israel, Yuli-Yoel Edelstein turut menggesa supaya semua pihak perlu fokus kepada kerjasama bagi menamatkan kon­flik yang berlaku.