Lavrov dalam satu temu bual dengan agensi berita Rusia, RIA Novosti hari ini berkata: “Saya sepenuhnya yakin bahawa tentera AS dan Rusia tidak akan membenarkan ia berlaku, begitu juga dengan Putin dan Trump.

“Lagipun mereka adalah pe­mimpin yang dipilih oleh rak­yatnya dan bertanggungjawab atas keamanan negara mereka,” kata Lavrov.

Lavrov turut memberi isyarat bahawa terdapat cubaan untuk meredakan ketegangan antara Rusia dan AS yang semakin memuncak sambil menambah bahawa Trump telah menjemput Putin ke Washington menerusi satu panggilan telefon.

“Trump menyatakan kese­diaannya menerima kunju­ngan Putin di White House dan Presiden AS itu mengakui turut berbesar hati untuk membuat lawatan balas ke Moscow,” kata Lavrov.

Sementara itu, Lavrov mene­gaskan, Rusia tidak berdepan dengan halangan untuk menghantar peluru berpandu S-300 ke Syria selepas sera­ngan yang diketuai AS di negara itu minggu lalu.

“Rusia berjanji tidak akan menghantar S-300 ke Damsyik kira-kira 10 tahun yang lalu atas permintaan rakan sekutu. Kami mengambil kira hujah mereka bahawa ia akan menjejaskan keadaan, meskipun sistem peluru berpandu itu hanya sebagai sistem pertahanan.

“Kami akur terhadap permintaan mereka. Tetapi sekarang kita tidak mempunyai kewajipan seperti itu lagi, “kata Lav­rov.

Sistem pertahanan udara Syria berjaya memintas 71 daripada lebih 103 peluru berpandu yang menyasarkan orang awam dan tentera, menurut Kementerian Pertahanan Rusia sejurus selepas serangan udara itu.

Unit pertahanan udara Rusia di Syria bagaimanapun tidak terlibat dalam menangkis sera­ngan itu. – AGENSI