BBC melaporkan, Trump de­ngan sewenang-wenangnya me­ngeluarkan kenyataan berbaur spekulasi bahawa pihak polis mungkin sudah mengetahui insiden itu terlebih dahulu dan tidak proaktif.

Menurut May ketika mengulas kenyataan itu berkata: “Saya tidak rasa spekulasi seperti ini membantu penyiasatan polis ketika ini.”

Trump dalam salah satu tweetnya menuduh pihak polis tidak proaktif sehingga kejadian itu berlaku.

Sejurus selepas itu, May menerima panggilan telefon daripada Trump yang menyampaikan rasa takziah dan menyatakan kesanggupan untuk membantu pihak berkuasa menangani serangan keganasan.

Bekas pembantu khas May, Nick Timothy turut senada dengan pemimpin negaranya, tindakan Trump boleh mengundang rasa tidak senang terhadap pihak polis.

“Betul atau tidak, beliau tidak tahu. Kenyataan seperti ini tidak membantu mana-mana pihak,” ujarnya.

Sebelum ini, Trump mendabik dada mengatakan pentadbiran beliau telah berjaya menangani serangan keganasan termasuk Daesh dengan lebih baik sejak sembilan bulan lepas berbanding ketika pentadbiran Barack Obama.

“Anda perlu proaktif dan jahat,” tulisnya dalam laman sosial Twitter milik beliau.

Pada Khamis lalu, sebuah letupan menyebabkan api menyambar satu daripada gerabak tren bawah tanah di Ste­sen Parsons Green sekali gus menyebabkan para penumpang panik dan be­rebut-rebut mencari pintu keluar untuk menyelamatkan diri.

Sekurang-kurangnya, 22 penumpang tren di stesen berke­naan mengalami kecederaan akibat rempuhan orang ramai yang panik dengan letupan ter­sebut.

Jabatan Pengangkutan London menerusi Twitter memaklumkan perkhidmatan tren antara stesen Earls Court dan Wimbledon dihentikan buat sementara kerana ia melalui ste­sen Parsons Green.