Ketuanya, Lt Jen Nattathorn Prousoonton berkata mereka yang ditahan terdiri daripada enam warga Russia, empat Uzbekistan dan masing-masing satu Ukraine, Belarus, Maghribi dan Iran.

Namun beliau enggan mendedahkan bila kesemua mereka ditahan tetapi berkata semua suspek didakwa terlibat dengan sindiket mafia dan aktiviti haram yang lain.

“Empat daripada warga Russia yang ditahan itu disyaki terlibat dengan dadah dan aktiviti haram berkaitan kewangan.

Terdapat juga notis terhadap mereka oleh Interpol dan pihak berkuasa Russia,” katanya kepada media di sini hari ini.

Menurut Nattathorn, pihak Imigresen dan agensi lain sering memantau warga asing yang memasuki Thailand bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan aktiviti yang mampu menggugat negara itu.

Menurutnya, antara aktiviti yang didakwa dilakukan 14 suspek itu adalah bertindak sebagai agen sindiket pelacuran wanita Eropah Timur di Thailand dan menjadi dalang perkhidmatan sewa kereta haram.

“Mereka juga terlibat dengan dadah, aktiviti haram lain membabitkan perniagaan restoran dan hiburan,” katanya.

Menurut Nattathorn, selepas tindakan di Pattaya, Imigresen dan agensi penguatkuasaan lain akan menumpukan perhatian kepada Phuket, satu lagi destinasi popular pelancong dan warga asing.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 139 pendatang asing tanpa izin Korea Utara yang kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen di Bangkok, daripada 914 tahanan dari 71 negara. - BERNAMA