Theerasak Longji, 26, dihukum mati dengan suntikan maut di Penjara Pusat Bang Kwan di utara Bangkok semalam selepas didapati bersalah membunuh seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 2012.

Longji merupakan individu ketujuh yang dihukum mati de­ngan suntikan maut sejak Thailand memperkenalkan kaedah itu bagi menggantikan hukuman mati menerusi skuad tembakan.

Sebanyak dua tahanan dihukum mati buat kali terakhir pada 2009 atas kesalahan mengedar dadah.

Aktivis Amnesty Internatio­nal Thailand, Katherine Gerson berkata, tindakan tersebut dilihat sebagai satu pencabulan hak kehidupan.

“Tiada bukti yang menunjukkan hukuman mati mempunyai kesan yang efektif untuk membendung kadar jenayah seperti yang diharapkan oleh pihak berkuasa negara ini.

“Kerajaan Thailand perlu menghentikan sebarang cadangan untuk melaksanakan hukuman mati pada masa akan datang secara serta-merta,” katanya.

Berdasarkan data yang diperoleh Jabatan Pemulihan Thailand menunjukkan sebanyak 520 daripada 361,030 tahanan di negara ini sedang menunggu untuk menjalani hukuman mati. – REUTERS